MB Terengganu arah periksa stadium lama
Insiden bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu runtuh, Selasa lalu dianggap sebagai satu mimpi negeri.
Lantaran itu, tindakan drastik perlu dilakukan dengan kadar segera bagi mengelak insiden yang sama berulang.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengarahkan pihak bertanggungjawab supaya melakukan pemeriksaan yang rapi ke atas Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Katanya, stadium yang terletak di tengah bandar raya itu sudah lama dibina dan ia perlu diperiksa dengan rapi sebelum digunakan semula.
"Saya mengarahkan Datuk Bandar, Datuk Mat Razali Kassim supaya Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memeriksa beberapa bahagian di stadium itu supaya ia selamat digunakan.
"Antara yang perlu diberi perhatian ialah tiang struktur menara lampu limpah serta struktur atap podium utama stadium tersebut," katanya dalam satu kenyataan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) semalam.
Dalam pada itu, Ahmad turut mengarahkan semua bangunan dan struktur baru yang menjadi tumpuan awam seperti sekolah dan dewan diperiksa semula bagi memastikan ia berada di tahap terbaik.
Ia juga bagi memastikan pembinaan semua kemudahan tersebut dijalankan mengikut spesifikasi dan selamat untuk di gunakan agar insiden yang berlaku di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Selasa lalu tidak berulang.
"Segala kecacatan bangunan perlu dilaporkan dan langkah-langkah membaik pulih perlu diambil segera."
Sementara itu, tinjauan di Stadium Tertutup berhampiran stadium yang runtuh mendapati, beberapa keretakan pada struktur bangunan tersebut.
Keretakan paling ketara dapat dikesan di bahagian pintu masuk Utara apabila garisan retak sepanjang beberapa meter dapat dilihat dari jauh di kedua-dua laluan orang kenamaan itu.
Selain itu, keretakan juga dapat dikesan di bawah tangga menara B berhampiran pintu Timur stadium berkenaan.
Pada Selasa lalu, bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bernilai kira-kira RM300 juta itu runtuh kira-kira pukul 9.30 pagi tetapi semua 19 pekerja yang berada di dalam stadium itu selamat.
Stadium tersebut dirasmikan oleh Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu dan menjadi venue utama penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-12 yang bermula pada 31 Mei hingga 9 Jun 2008.
- KOSMO!