Menghangatkan kembali hubungan suami isteri

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

Perkahwinan bukan sekadar seks dan percintaan sahaja. Ia membawa maksud yang sangat meluas. Bila anda mengucap janji untuk setia sehidup semati mengharungi susah senang bersama bukanlah sekadar ungkapan di bibir sahaja, seluruh jiwa raga akan turut memikul amanah yang bukan calang-calang saiznya.

Tahun pertama perkahwinan memang indah apabila anda dan pasangan masih mempunyai banyak masa romantis bersama. Sesekali berpelukan menghadiahkan ciuman pada waktu yang tidak disangka-sangka memang satu perkara yang amat indah terutama bagi si isteri.

Tetapi apabila usia perkahwinan mencecah lima tahun ke atas, suami mungkin tidak lagi melakukan perkara yang biasa dilakukan terhadap anda dahulu.

Dalam erti kata yang lebih mudah, suasana hangat di awal perkahwinan bertukar menjadi suam seiring pertambahan usia rumah tangga yang dibina.

Lebih teruk apabila anda dan pasangan kini seakan orang asing dan hanya berbual apabila ada perkara penting sahaja.

Rumah tangga yang suram, anak-anak semakin membesar dan terikat dengan kerja yang semakin membebankan pasti membuatkan anda tidak lagi memberi keutamaan kepada pasangan.

Jika perkara tersebut berlarutan lama kelamaan perasaan cinta semakin hilang dan yang tinggal hanyalah rasa tanggung jawab dan hormat antara satu sama lain.

Antara formula yang ditemukan oleh para pakar psikologi perkahwinan bagi 'merawat' perhubungan yang mula hambar ialah dengan dating.

Temu janji atau dating ini tidak bermakna anda dan pasangan pergi ke tempat atau restoran sama yang pernah anda berdua kunjungi. Kunjungan ke tempat lama hanya akan memberikan impak kurang baik kepada hubungan yang telah sedia goyah.

Sebaiknya pasangan disarankan mencuba ke tempat baru serta aktiviti baru yang boleh membangkitkan satu perasaan teruja terhadap kedua-duanya.

Bila satu aktiviti baru dilakukan bersama, kegembiraan tersebut secara tidak langsung memberikan nilai positif terhadap perhubungan.

Situasi sebenar seorang isteri...

Contohnya, pernahkah anda sebagai isteri sesekali terfikir akan perkara seperti di bawah:

"....Memang saya masih sayangkan dia, sesekali kami makan berdua di restoran, menonton wayang dan jika bersembang, topik yang menjadi perbincangan ialah tentang anak-anak. Tetapi selepas usia perkahwinan kami mencecah 10 tahun perbualan kami semakin terhad, kami hanya bercakap tentang perkara yang penting dan tiada lagi gurau senda atau gelak ketawa. Adakalanya saya terfikir, bila kami semakin tua mungkinkah kami akan semakin senyap"...

Situasi di atas memang banyak dialami oleh kebanyakan pasangan suami isteri.

Memang sampai satu peringkat dalam perkahwinan, suami isteri tidak lagi banyak berkomunikasi seperti dahulu. Tetapi dengan merancang satu pertemuan istimewa pasti akan ada perkara baru yang anda berdua bicarakan.

Biarkan kimia dopamin terhasil sekali lagi

Jadi apa salahnya mencuba. Antara cadangan yang diberikan ialah seperti di bawah;

l Selalu sangat anda menonton wayang dengan dia terutama ketika berpacaran dahulu, kali ini apa kata berubah dengan mengajak pasangan ke persembahan teater, tentu banyak perkara yang baru yang boleh disembangkan. Jika teater yang ditonton begitu romantis dan sentimental, tidak salah jika anda berpegangan tangan, tetapi jika sekali pun persembahan teater itu tidak menarik anda dan pasangan boleh sama-sama mengutuk persembahan tersebut, tentu suasana hambar mula berubah.

l Cuba ajak pasangan anda berjalan ke satu kawasan perumahan yang anda idamkan. Cuba bayangkan bahawa anda dan keluarga akan mendiami kawasan tersebut dan menghadapi kehidupan yang sempurna dan tenang. Walaupun ia belum berlaku, pasti mood anda dan pasangan akan terangsang kerana membayangkan sesuatu yang seronok dan sempurna untuk kehidupan anda sekeluarga terutama selepas bersara kelak.

l Jangan kata usia kita menjadi penghalang untuk kita berhibur di taman tema. Apabila mula bercinta, otak mengeluarkan sejenis kimia yang dipanggil dopamin, hormon tersebut membuatkan manusia berasa gembira.

Apabila melakukan sesuatu yang mencabar dan tambahan pula ia satu perkara yang baru bagi anda dan pasangan dopamin akan terhasil sekali lagi sekali gus membuatkan kamu berdua merasai perasan gembira tersebut bersama-sama.

Justeru apa salahnya jika anda dan pasangan mencuba menaiki roller coaster yang mencabar di mana-mana taman tema yang terdapat di negara ini. Walaupun anda atau suami jenis yang kecut perut dengan roller coaster, tidak salah mencuba bukan? Bila sama-sama menjerit, tangan anda akan berpaut pada satu sama lain pasti cinta akan bersemarak semula.

Tiga idea yang dicadangkan di atas mungkin menjadi 'pemecah tembok' bagi anda untuk merancang sesuatu yang baru dalam perhubungan anda suami isteri.

Banyak lagi yang boleh dilakukan semuanya bergantung kepada diri anda untuk berubah atau tidak.

Namun dalam usaha anda untuk melakukan sesuatu jangan pula dijadikan alasan untuk anda berdua bergaduh, sebaiknya pastikan juga keperluan lain seperti kewangan yang stabil, anak-anak semuanya berada dalam tahap yang memuaskan. Ingat tepuk dada tanya selera.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url