Berikan maklumat tepat kawasan penularan H1N1

Angka korban wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1) setakat semalam ialah 26 orang. Semalam sahaja, lapan lagi kematian dicatatkan.

Dalam tempoh 19 hari sejak korban pertama pada 21 Julai lalu, bermakna lebih seorang menjadi mangsa virus paling berbahaya di negara ini sekarang.

Kebimbangan rakyat terhadap ancaman terhadap kesihatan diri dan keluarga semakin hari kian meningkat.

Banyak sekolah serta institusi pendidikan tinggi ditutup kerana terdapat kes jangkitan.

Janganlah ada pihak yang memberi kenyataan rakyat tidak perlu panik. Sebelum ini, apabila ada tanda-tanda diserang penyakit itu, mereka dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Sekarang lain pula cerita apabila mendapati begitu ramai pesakit berpusu-pusu ke hospital kerajaan. Sekarang, pesakit yang disahkan dijangkiti dan dimasukkan ke wad sahaja akan diberi perhatian utama.

Kita faham masalah yang dihadapi oleh pihak hospital kerajaan sekarang. Kita sudah ada pengalaman menghadapi penyakit serius seperti JE, SARS pada masa lalu. Kita yakin wabak H1N1 juga akan berakhir. Ini kerana setiap penyakit ada penawarnya.

Biarpun pada masa ini belum ditemui vaksin untuk menawarkan penyakit ini tetapi langkah-langkah pencegahan perlu kita lakukan segera dan dengan serius.

Kita tidak mahu saban hari Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan menghadap media untuk mengumumkan angka kematian.

Ketika angka 15 kematian sudah dianggap oleh Perdana Menteri sebagai ancaman serius kepada negara, apatah lagi jumlahnya kian meningkat menjadi 26 korban.

Memandangkan penularan virus ini sudah sampai ke tahap jangkitan di dalam komuniti, sebagai langkah pencegahan tambahan adalah lebih baik kerajaan mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung kepada orang ramai di tempat awam.

Sebelum ini, di kebanyakan tempat awam, boleh dibilang orang ramai yang memakai penutup mulut dan hidung. Barangkali inilah nasihat 'jangan panik' yang diberikan kepada mereka. Lalu orang ramai tidak berasa apa-apa yang perlu dibimbangkan.

Masyarakat kita juga sebenarnya tidak tahu di kawasan atau tempat mana mereka patut berhati-hati. Selama ini tidak siapa tahu di mana kawasan virus selesema babi itu merebak. Tiada maklumat diberikan, di mana kawasan virus selesema babi itu sedang merebak.

Kementerian Kesihatan terus merahsiakan kawasan mereka yang telah dikuarantinkan.

Alangkah baiknya semua rakyat diberikan maklumat mengenai kawasan-kawasan yang sedang dijangkiti virus itu.

Dengan itu orang ramai terutama jiran tetangga dapat sama-sama memantau gerak-geri pesakit yang disyaki di samping menjaga kesihatan mereka sendiri. Sekarang tidak siapa tahu di mana kawasan yang perlu mereka jauhi.

Jika sesebuah kawasan diisytihar sebagai daerah yang disyaki dijangkiti virus H1N1, ia memberi maklumat kepada orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan jika terpaksa pergi ke tempat tersebut.

Selain menasihati orang ramai supaya tidak menghadiri majlis perhimpunan di tempat-tempat awam jika perlu, kerajaan juga wajar memberi maklumat kawasan yang berisiko berlaku penularan wabak ini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url