Orang ramai diminta jalani ujian kesan thalassemia

Orang ramai dinasihat menjalani ujian saringan mengesan lebih awal gen thalassemia, selain mencegah penyakit berkenaan daripada diwarisi keturunan mereka.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata penyakit itu boleh dibawa sesiapa saja dan cara paling efektif mengawalnya adalah menerusi ujian saringan.

"Thalassemia ialah penyakit keturunan atau genetik membabitkan sel darah merah. Kira-kira 4,385 menghidapnya dan ia juga penyakit keturunan paling kerap ditemui di negara ini dengan tiga hingga lima peratus menjadi pembawa.

"Pembawa penyakit ini juga memerlukan kaunseling supaya mereka yang positif faham tanggungjawab kepada diri sendiri, bakal pasangan serta komuniti.

"Penyebaran maklumat secara meluas kepada orang awam diperlukan," katanya pada majlis perasmian Hari Kesedaran Thalassemia di sini, semalam.

Rosmah yang juga penaung persatuan itu berkata, jumlah pesakit thalassemia berdaftar di negara ini semakin meningkat iaitu daripada 2,500 pesakit pada 2004 kepada 4,385 pesakit.

"Tanpa pencegahan proaktif jumlah pesakit terus meningkat berikutan perkahwinan antara pembawa dengan pembawa.

"Kempen kesedaran perlu dipertingkat supaya orang awam lebih memahami penyakit ini dan cara mencegahnya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin pesakit thalassemia mahu berdikari, mampu bekerja dan tidak mahu didiskriminasi kerana kekurangan diri.

"Mereka mampu untuk menyumbangkan sesuatu dan oleh itu, apa yang mereka mahu adalah diberi kesempatan untuk membuktikan kebolehan diri kepada masyarakat setempat. Sayangnya, dari 19 pesakit yang diserapkan untuk bekerja hanya 11 yang diterima bekerja dan kebanyakan mereka adalah pekerja kontrak jangka pendek.

"Setakat ini, hanya seorang pesakit yang berjaya mendapatkan pekerjaan di bank sebagai pekerja sepenuh masa mungkin disebabkan majikan tidak mengetahui dia penghidap thalassemia," katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url