Pencarian gadis Melayu urban
Gadis Melayu sinonim dengan paras rupa menawan, serta peribadi yang sarat dengan nilai dan budaya Melayu serta bersopan santun hingga mampu meruntun hati siapa sahaja yang memandangnya.
Namun, ada persepsi yang mendakwa itu gadis Melayu dahulu. Sesuai dengan era baru, gadis-gadis Melayu kini sudah berubah atau dilabel sebagai gadis urban!
Biarpun begitu, sebilangan besar gadis urban masih berpegang teguh kepada nilai-nilai gadis Melayu biarpun pada masa yang sama aktif, lasak, moden, berdikari dan berkeyakinan tinggi.
Atas kesedaran itu, TV9 kini mencari ikon gadis Melayu yang urban dalam rancangan Gadis Melayu 2.
Musim baru Gadis Melayu 2 yang mula bersiaran sejak 6 Ogos lalu pada setiap hari Khamis, pukul 9.30 malam dikendalikan oleh Sharifah Shawati Syed Mohd. dan Juliana Evans.
Hasil daripada penjelajahan ke enam lokasi bermula di Johor, Pulau Pinang, Shah Alam, Perak dan Kuala Lumpur, 12 orang peserta bertuah yang mempunyai latar belakang yang berlainan berjaya dijejaki.
Mereka berjaya mengetepikan hampir 1,000 gadis lain yang turut sama menghadiri uji bakat itu.
Mereka ialah, Norfarizan Mohamad, Shazfinaz Hashim, Hafiza Bustanul Ariffin, Hazlin Hussain, Sharifah Jasmine Soraya Syed A. Jalil Jamalullail, Nadiah Adrianna Mohd Akbal, Putri Noor Nawal Ramlan, Rahimah Ibrohim, Robeaha Ramza, Siti Sharinnie Rizal, Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin dan Raja Nor Juliana.
Rancangan realiti selama sejam ini memaparkan pelbagai aksi dan cabaran yang berbeza pada setiap minggu.
Cabaran-cabaran ini terdiri daripada penampilan diri, kecantikan, kebijaksanaan, keperibadian, kebolehan berkomunikasi, asas sains rumah tangga dan seni serta budaya.
Kesemua ini penting untuk memastikan pemenang benar-benar layak menjadi ikon kepada Gadis Melayu serta menjadi inspirasi kepada mereka untuk mewarisi budaya dan tradisi orang Melayu.
Namun begitu, kelainan yang cuba ditonjolkan pada musim ini adalah elemen tradisional seorang gadis Melayu dan elemen moden bersesuaian dengan zaman sekarang.
Penerbit Rancangan Gadis Melayu 2, Shukri Ibrahim berkata, pencarian gadis Melayu pada kali ini bukan sekadar mengetahui budaya Melayu semata-mata, malah turut diuji dari segi kebijaksanaan, kreativiti, serta mempunyai pengetahuan am.
"Mereka juga akan diuji dengan pelbagai aksi lasak sesuai dengan ciri-ciri gadis Melayu zaman sekarang walaupun berpegang kuat pada adat ketimuran, mereka juga tegas, berkeyakinan dan serba boleh.
"Seiring dengan konsep baru TV9 yang lebih urban, pencarian Gadis Melayu pada kali ini mengutamakan aspek gadis Melayu yang kontemporari, mempunyai latar belakang pendidikan yang baik di samping tidak mengabaikan tata susila dan keayuan sebagai seorang gadis Melayu," ujarnya pada sidang baru-baru ini.
Antara cabaran yang akan dilalui ialah, para peserta akan disediakan wang saku dan diminta untuk menyediakan masakan kampung.
Bagaimanapun, sekiranya wang tersebut tidak mencukupi, mereka haruslah pandai mencari dan memetik sendiri ulam-ulaman yang hendak disediakan.
Secara tidak langsung, tugasan ini akan menguji para peserta sama ada mengenali ulaman kampung atau sebaliknya.
Pada masa yang sama, karakter merupakan perkara sebenar yang dicari dan kerana itu, para peserta haruslah memiliki karakter diri serta bakat dan personaliti tersendiri.
Dari segi pemarkahan untuk setiap tugasan yang diberikan, 50 peratus datangnya daripada undian penonton dan 50 peratus lagi akan dinilai oleh juri jemputan yang berbeza dalam setiap episod.
Tambah Shukri, antara perbezaan yang ditonjolkan pada musim ini, konsep imuniti diperkenalkan iaitu peserta yang berjaya memenangi cabaran pada episod itu akan dikecualikan daripada dibuang pada akhir rancangan.
Menurutnya, ia diwujudkan untuk menambah daya saing antara peserta dan menjadikan rancangan ini lebih menarik.
- UTUSAN