Vaksin percuma cegah kanser rahim


Mulai tahun depan, seramai 300,000 remaja perempuan berusia 13 tahun di seluruh negara akan diberi suntikan pelalian Human Papillomavirus (HPV) bagi mencegah penularan kanser pangkal rahim. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pemberian vaksin berkenaan adalah di bawah Program Pelalian HPV yang diluluskan oleh Kabinet baru-baru ini dan melibatkan kos RM150 juta setahun.

“Kanser pangkal rahim merupakan kanser kedua yang kerap berlaku di kalangan wanita di negara ini selepas kanser payu dara. Kementerian Kesihatan berharap Program Pelalian HPV akan berjaya mencegah penyakit berkenaan pada masa akan datang. ‘‘Pelalian tiga dos HPV itu kemungkinan besar akan diberikan di sekolah. Maklumat terperinci mengenai pelaksanaan Program Pelalian HPV masih belum siap sepenuhnya,’’ katanya di sini hari ini. Tiong Lai berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan kempen Kesedaran Kesihatan anjuran Crisis Relief Squad of MCA (CRSM) di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini hari ini.

Jelas beliau, vaksin berkenaan akan diberikan di sekolah-sekolah bagi memudahkan dos kedua dan ketiga diberikan kepada remaja perempuan yang terlibat. ‘‘Dos kedua akan diberikan selepas sebulan atau dua bulan dos pertama diberikan, manakala dos ketiga akan diberikan selepas enam bulan tarikh dos pertama. ‘‘Jika vaksin berkenaan diberikan di klinik dan hospital, berkemungkinan remaja berkenaan tidak datang semula untuk mendapatkan dos susulan masing-masing. Oleh itu, lebih baik ia diberikan di sekolah sahaja,’’ katanya.

Tambah Tiong Lai, Itali, Australia, Perancis dan Taiwan sudah memulakan program vaksin seumpama ini untuk remaja perempuan berusia 11 dan 14 tahun iaitu sebelum mereka mula melakukan hubungan seks. ‘‘Kajian yang dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2007 menganggarkan kos yang perlu ditanggung kerajaan untuk merawat pesakit kanser pangkal rahim atau kanser serviks di seluruh negara ialah RM382 juta setahun. ‘‘Jadi, kerajaan memilih untuk mencegah daripada merawat,’’ katanya. Jelas Tiong Lai, vaksin pencegah kanser pangkal rahim berkenaan hanya perlu diambil sekali dalam seumur hidup.

‘‘Keberkesanannya dalam mencegah penularan kanser pangkal rahim jenis 16 dan 18 adalah sehingga 98 peratus. ‘‘Ia mampu mengurangkan risiko kanser tersebut sehingga 70 peratus. Vaksin ini sudah berada di pasaran pada masa ini, namun harganya agak tinggi iaitu RM1,200 untuk tiga dos,’ jelasnya. Kata Tiong Lai, selepas pembelian meluas vaksin HPV untuk remaja perempuan tahun depan kerajaan akan berunding dengan pembekal vaksin untuk menurunkan harga HPV kepada sekitar RM500.

‘‘Biarpun vaksin pencegahan kanser pangkal rahim sudah berada di pasaran, golongan wanita masih digalakkan menjalankan pemeriksaan Pap Smear. ‘‘Ini kerana pelalian HPV mencegah kanser pangkal rahim, tetapi Pap Smear mampu mengesan kanser berkenaan di peringkat awal lagi,’’ jelasnya. Sementara itu, Ketua Wanita MCA yang juga Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun yang turut hadir pada majlis itu mengalu-alukan hasrat kerajaan untuk berunding bagi membantu mengurangkan harga vaksin HPV di pasaran.

- UTUSAN

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url