Umno sudah habis gas, kata PAS
Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata, pencalonan Isa menggambarkan Umno sudah kehilangan orang yang berwibawa dan calon yang bersih dari segi moral dan rasuah.
Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004.
Isa memenangi jawatan naib presiden Umno bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi, iaitu undi tertinggi mengatasi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).
Bagaimanapun kemenangannya itu kemudiannya dibatalkan selepas didapati bersalah terhadap tuduhan amalan politik wang dalam pemilihan tersebut.
Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.
Ekoran itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa Isa tidak seharusnya menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.
Jika tidak, kata Dr Mahathir, imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.
Mengulas lanjut, Idris berkata, sabitan kesalahan rasuah oleh jawatankuasa disiplin Umno itu menyebabkan Isa kehilangan jawatan naib presiden dan menteri Wilayah Persekutuan.
"Kita mengharapkan semua pengundi yang berada di Bagan Pinang adalah mereka yang mempunyai jati diri yang kukuh akan membuat perhitungan yang tepat untuk memilih wakil rakyat di kawasan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Sebagai mana sedia maklum Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang mempunyai ramai pengundi tentera yang kita tahu mereka adalah orang yang berdisiplin dan bermoral tidak akan rela berketuakan orang yang telah terpalit dengan rasuah," katanya.
Idris juga menyifatkan pemilihan Isa sebagai calon, menjadi kayu ukur bahawa pemimpin Umno tidak ada kesungguhan memerangi rasuah.
"Kajian Transparency International (TI), menunjukan rekod Malaysia terus merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah apabila berada pada kedudukan ke-47 pada tahun 2008 berbanding tangga ke-43 pada tahun 2007," katanya.
Oleh itu, PAS menyeru pengundi Bagan Pinang supaya selamatkan negara daripada rasuah yang boleh membinasakan negara.
Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.
- MALAYSIAKINI