Bersedia gelombang kedua H1N1

Kementerian Kesihatan kini bersiap sedia menghadapi gelombang kedua selesema babi atau influenza A (H1N1) yang kian menular di Amerika Syarikat dan negara hemisfera utara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, persediaan itu dimulakan dengan pemberian 200,000 suntikan vaksin anti-H1N1 kepada barisan hadapan 'penentang' virus itu.

Ia disusuli dengan penerimaan 400,000 dos vaksin anti-H1N1 yang ditempah dari syarikat GlaxoSmith Kline (GSK) di United Kingdom pada Januari depan.

''Diakui, peningkatan kes serta kematian di Amerika Syarikat dan negara-negara hemisfera utara akibat H1N1 membimbangkan kita.

''Justeru, saya telah mengarahkan agar pemantauan di setiap daerah- daerah dipertingkatkan agar sebarang kes dapat dikesan dengan pantas.

''Sebagai langkah awal, sejak awal November lalu kementerian sudah memberi 200,000 suntikan vaksin antivirus H1N1 kepada barisan hadapan 'penentang' wabak itu seperti doktor, anggota polis dan imigresen,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Topi Keledar Kanak-Kanak Genting di Sekolah Kebangsaan Sulaiman di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh: Pengerusi MCA Pahang, Datuk Hoh Khai Mun dan Naib Presiden Kanan Perhubungan Awam dan Komunikasi Genting Malaysia Berhad, Datuk Anthony Yeoh.

Sementara itu, Tiong Lai dalam ucapannya memberitahu, kerajaan melalui Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2006-2010 berhasrat mengurangkan kadar kematian jalan raya kepada 50 peratus setahun.

Setakat ini katanya, kematian dicatat di negara ini berada pada tahap 3.7 kematian pada setiap 10,000 kenderaan berdaftar.

''Kebanyakan negara maju hanya mencatat dua kematian pada setiap 10,000 kenderaan berdaftar dan kita sedang cuba menuju ke arah itu.

''Justeru, pelbagai langkah perlu diambil terutamanya pengguna motosikal yang mencatat kematian terbanyak setiap tahun. Salah satu usaha yang dapat diambil ialah menjadikan pemakaian topi keledar sebagai satu budaya,'' ujarnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url