Top Ad 728x90

BTN tidak perlu dihentikan - Hishammuddin

KUALA TERENGGANU 28 NOV 2009 - Biro Tata Negara (BTN) tidak perlu dihentikan dan segala tuntutan parti pembangkang berhubung perkara itu tidak seharusnya dilayan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, kursus dan modul yang diperkenalkan dalam BTN sebenarnya masih penting dalam menerap dan memupuk semangat cintakan negara di kalangan rakyat.

''Ia penting dalam membina sebuah negara yang maju dan utuh. Saya sebenarnya hairan kenapa baru sekarang parti pembangkang menimbulkan tuntutan seperti ini walhal kursus BTN telah lama wujud.

''Ini mungkin berlaku kerana mereka ketandusan isu selain ingin mengalih perhatian daripada masalah dalaman yang mereka hadapi sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Korban Peringkat Parlimen Kuala Nerus di Masjid Kampung Tok Jembal di Kuala Terengganu hari ini.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata demikian ketika mengulas gesaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya BTN ditutup terus.

Gesaan terbaru Kit Siang itu dibuat selang tiga hari selepas kerajaan negeri Selangor melarang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan kakitangan awam negeri itu menghadiri kursus BTN.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu dalam mengukuhkan hujahnya mendakwa BTN adalah salah satu punca kegagalan kepada pembinaan negara bangsa Malaysia yang bersatu padu sejak kemerdekaan negara lebih setengah abad lalu.

Hishammuddin berkata, parti pembangkang mungkin 'menyerang' agensi lain seperti BTN dalam usaha menimbulkan isu.

''Perkara sama berlaku ketika Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diperkenalkan. Ramai yang mencemuh, namun selepas sekian lama dilaksanakan, ia tidak lagi menjadi perhatian sebaliknya ia diterima oleh semua pihak," ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan BTN supaya berpegang pada prinsip asal dan menjalankan programnya seperti biasa.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90