Taun merebak hampir ke seluruh Terengganu

Wabak taun yang berlaku di Terengganu sejak minggu lalu kini dilapor merebak hampir ke seluruh negeri dan sehingga kini, seramai 111 kes dikesan positif taun.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nordiyanah Hassan, berkata selain Kuala Terengganu, penyakit taun kini turut dikesan di Marang, Setiu, Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Hanya daerah Besut yang tidak mencatat kes itu.

"Sehingga jam 7 pagi ini, seramai 378 orang dimasukkan ke hospital dan daripada jumlah itu 111 kes didapati positif," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Sehubungan itu, Dr Nordiyanah menasihati orang ramai agar mengambil langkah pencegahan seperti meminum hanya air yang dimasak, minum air batu yang dibuat sendiri menggunakan air yang dimasak dan memasak sendiri makanan di rumah.

Orang ramai juga diminta sentiasa mencuci sayur-sayuran, buah-buahan dan alat memasak dengan air bersih, menutup semua makanan dan makan makanan yang masih yang panas.

"Basuh tangan dengan air sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum makan dan sebelum menyediakan makanan. Jika perlu makan di luar, pilih gerai yang bersih dan pengendali makanan yang mengamalkan kebersihan yang baik," katanya.

Beliau berkata, taun adalah sejenis penyakit bawaan air dan makanan atau penyakit cirit birit yang mudah berjangkit dan sangat berbahaya iaitu kumannya terdapat dalam najis dan muntah pesakit serta pembawa kuman taun.

Sementara itu, kedai makan di Kuala Terengganu dan beberapa daerah di sekitarnya bakal mengalami masalah putus bekalan air batu selama dua minggu apabila lima kilang air batu utama di sini diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan negeri sejak Ahad lalu dalam usaha mencegah penyakit taun daripada merebak.

Tiga kilang terbabit di kawasan perindustrian Cendering manakala dua lagi di Gong Badak dekat sini.

Seorang pekerja di sebuah daripada kilang berkenaan ketika ditemui Bernama berkata pihak berkuasa Jabatan Kesihatan negeri datang ke kilang itu Ahad lalu dan mengarahkan supaya kilang menghentikan pengeluaran air batu.

"Mereka telah menampalkan notis supaya operasi kilang diberhentikan serta merta sehingga 14 hari dan mereka memaklumkan arahan tutup dikeluarkan kerana mendakwa kilang ini tidak mematuhi peraturan kebersihan sebagaimana yang dikehendaki," katanya.

Beliau berkata ,kilang itu yang mempunyai kira-kira 50 lori air batu dengan hampir 100 pekerja, membekalkan bahan berkenaan sehingga ke Jertih dan Dungun, kini terpaksa menanggung kerugian yang agak tinggi berikutan arahan penutupan itu.

Tinjauan di sebuah lagi kilang air batu berhampiran mendapati banyak lori menghantar air batu tersadai di hadapan syarikat berkenaan sejak ia menghentikan operasi semalam.

Seorang pemilik kedai makan, Mamat Abdul Wahab, 46, berkata beliau dimaklumkan pengedar air batu semalam bahawa bekalan bahan itu akan terputus selama 10 hari.

"Ia akan menimbulkan sedikit kesusahan kepada kami peniaga kedai makan kerana hampir 80 peratus pelanggan gemar minuman berais," katanya yang mengusahakan Kedai Makan Mat Binjai di Jalan Sultan Sulaiman di sini.

Beliau berkata, setiap hari kedai makannya menggunakan hampir 50 kilogram air batu sehari dan beliau akan menggunakan alternatif lain termasuk membuat sendiri air batu untuk mengatasi masalah itu.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url