Tune Talk jangka dapat pelanggan ke 500,000
Tune Talk Sdn. Bhd. (Tune Talk) pengendali perkhidmatan mudah-alih, menyasarkan pelanggan ke 500,000 akan dicapai dalam beberapa minggu akan datang, menjadikannya salah sebuah syarikat telekomunikasi yang paling pantas berkembang di negara ini.
Ketua Eksekutifnya, Jason Lo berkata, sasaran utama mereka adalah untuk mendapat sejuta pelanggan dalam tahun pertama operasi.
"Kami akan menutup tirai 2009 dengan kejayaan yang amat membanggakan dan kami percaya tahun 2010 akan membawa kejayaan yang lebih besar.
'' Sambutan baik pelanggan adalah hasil strategi pemasaran dan komunikasi kami bukan konvensional termasuklah pendekatan dalam talian kami yang menarik," kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.
Tambah Lo, Tune Talk merupakan satu-satunya perkhidmatan mudah- alih yang memberikan manfaat dan kelebihan kepada pelanggan sebaik sahaja mereka mengaktifkan nombor, dan bukan hanya sempena hari jadi atau ulang tahun.
''Sebagai contoh, kadar rata terendah kami iaitu 22 sen seminit adalah yang terbaik di pasaran. Ia adalah untuk panggilan domestik ke mana-mana pengendali dalam Malaysia dan bukan hanya kepada keluarga atau rakan terpilih.
''Melalui maklum balas yang kami terima daripada pelanggan baru, mereka benar-benar dapat merasakan penjimatan dari segi bil mudah-alih dengan Tune Talk. Matlamat kami adalah menawarkan perkhidmatan yang lebih murah dan memudahkan masyarakat untuk berbual dan kami gembira berjaya mencapai matlamat itu," jelasnya.
Pengendali perkhidmatan mudah-alih terbaru negara ini dilancarkan pada 19 Ogos 2009 dengan menawarkan kadar rata terendah 22 sen seminit untuk panggilan dan lima sen setiap mesej pesanan ringkat (SMS).
Baru-baru ini, dalam usaha memberi kemudahan serta lebih penjimatan kepada pelanggannya, Tune Talk telah memasarkan telefon mudah alih yang berbaloi dikenali sebagai Telefon Tune Talk dengan harga RM109.
Setiap pakej pembelian Telefon Tune Talk disertai 100 minit kredit masa bercakap percuma daripada Tune Talk dan jaminan 1 tahun untuk set badan telefon. Promosi ini adalah untuk pelanggan baru dan juga pelanggan sedia ada Tune Talk.
"Telefon Tune Talk disasarkan kepada mereka yang berumur 12-30 tahun termasuklah pelancong, pekerja dan pelajar dari golongan pendapatan rendah hingga sederhana.
'' Oleh kerana cirinya yang ringkas dan mesra pengguna, ia juga sesuai untuk digunakan warga emas. Tiada kontrak dikenakan, begitu juga tiada had pembelian," kata Lo.
Telefon Tune Talk kini boleh didapati dari pengedar-pengedar sah Tune Talk di Lembah Klang dan akan diperluaskan ke seluruh negara dalam beberapa minggu akan datang.
Tune Talk semakin mendapat perhatian daripada segmen pasaran belia terutamanya dari kalangan anak muda yang mahir internet lantaran strategi gerbang dalam taliannya yang inovatif.
Para pelanggan Tune Talk mendapati kaedah pendaftaran, pengurusan akaun dan perkhidmatan pelanggan secara dalam talian yang disediakan syarikat itu amat berguna dan praktikal.
''Mereka hanya perlu ke laman web kami www.tunetalk.com untuk mendaftar secara dalam talian. Dari maklum balas yang kami terima, para pelanggan Tune Talk gemarkan kaedah pendaftaran yang menarik dan mesra pengguna ini yang membolehkan mereka memilih atau 'mencipta' nombor sendiri.
''Lebih menarik, pengguna boleh memadam dan memilih semula nombor yang dikehendaki berulang-ulang kali sehinggalah mereka berpuas hati," kata Lo.
Lo berkata produk Tune Talk dibangunkan dengan matlamat memberi kemudahan dan kebebasan membuat pilihan kepada pengguna.
Pek permulaan Tune Talk berharga RM5 dengan masa berbual berjumlah RM5. Ia kini juga boleh diperoleh dalam penerbangan antarangsa AirAsia bagi sektor Kuala Lumpur yang terpilih.
Untuk tambah nilai, pelanggan Tune Talk boleh menggunakan kaedah e-Pay atau baucar tambah nilai di lebih 10,000 pengedar di seluruh negara.
- UTUSAN