PIDM lindungi wang simpanan

Oleh Hatipah Ahmad

Pelanggan bank di negara ini tidak perlu bimbang kehilangan wang simpanan jika bank tempatan dan luar negara tempat mereka mempunyai deposit menutup operasi perniagaan.

Ini kerana kerajaan mengambil langkah paling proaktif bagi melindungi kepentingan pengguna apabila menginsuranskan wang simpanan pelanggan menerusi jaminan perlindungan deposit oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

Bukan saja deposit orang ramai di bank terjamin, malah masyarakat tidak perlu bimbang kerana sistem perbankan negara diyakini kukuh, tiada kes membabitkan bank di Malaysia gulung tikar hingga menyebabkan pelanggan yang menyimpan wang kehilangan simpanan.

Pengurus Besar Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), S Loganathan, berkata sebagai penginsurans deposit nasional, tanggungjawab PIDM melengkapi peranan Bank Negara Malaysia yang menjadi pengawal selia utama sistem perbankan tempatan.

Katanya, insurans deposit adalah satu sistem yang melindungi penyimpan daripada kehilangan deposit yang disimpan di bank dan jika bank mengalami kegagalan, penyimpan akan dibayar balik deposit mereka.

"Kami mempunyai kuasa luas ke arah menggalak dan menyumbang kestabilan sistem kewangan, termasuk menyediakan insentif kepada bank melaksanakan amalan pengurusan risiko yang baik bagi mengelakkan gulung tikar.

"Manakala bagi perlindungan orang ramai pula, kami menyediakan sistem insurans deposit yang melindungi penyimpan daripada kehilangan deposit yang disimpan di bank yang mana ia diberi secara automatik.

"Jika bank mengalami kegagalan, penyimpan akan dibayar balik deposit mereka dengan segera, tidak lebih tiga bulan mengikut akta PIDM.

"Bayaran semula berdasarkan rekod bank dan penyimpan tidak perlu membuat sebarang tuntutan kerana kami akan mengumumkan bila, di mana dan bagaimana pembayaran semula deposit yang dilindungi akan dilakukan," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, semalam.

Bagaimanapun, jaminan perlindungan deposit yang meliputi 100 peratus perlindungan ke atas deposit hanya bersifat sementara.

Katanya, PIDM berpendapat jaminan deposit kerajaan tidak akan digunakan berikutan kekukuhan sistem perbankan negara.

Selepas jaminan deposit itu berakhir, PIDM bercadang untuk kembali kepada sistem insurans deposit yang lebih tegas dan jelas dengan perlindungan terhad iaitu sehingga RM60,000 saja seperti sebelumnya.

Ketika ini PIDM menjamin deposit di semua 22 bank perdagangan, 17 bank Islam dan 15 bank pelaburan termasuk bank tempatan dan asing yang diperbadankan di negara ini termasuk lima institusi kewangan pembangunan yang menerima deposit seperti Bank Pembangunan Malaysia Bhd, Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Bhd, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat dan Agro Bank.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url