Siswazah raih RM40,000 sebulan

SHAH ALAM - Bukan mudah menjalankan perniagaan selepas tamat pengajian di universiti namun pemilik perniagaan coklat, Nazirah Mohd. Noor kini mampu tersenyum setelah meraih jualan sehingga RM40,000 sebulan.
Nazirah, 33, yang memiliki butik Chocolates Circle di Shah Alam City Centre Mall di sini menjelaskan, minat dan disiplin tinggi penting bagi memastikan usahawan siswazah berjaya dalam perniagaan.
"Saya berpegang kepada prinsip 'cuba dan gagal' dalam mengusahakan perniagaan. Saya akan cuba mencari jalan bagi menyelesaikan setiap masalah operasi yang timbul," kata graduan jurusan pentadbiran perniagaan dari Universiti Utara Malaysia itu.
Butik yang beroperasi sejak Ogos 2005 itu digerakkan menerusi pinjaman RM100,000 daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara). Bagaimanapun ia habis dibayar dalam tempoh tiga tahun.
Kata Nazirah, idea untuk mengusahakan perniagaan produk coklat itu tercetus apabila beliau terkandas ketika menunggu pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2003.
- KOSMO!

