‘Kembali kepada muzakarah’

KUALA LUMPUR 1 Feb.2010 – Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru rakyat supaya kembali berpegang kepada semangat muzakarah dan muafakat dalam menyelesaikan apa jua masalah.

Baginda bertitah, menjadi tugas semua pihak, baik daripada kalangan anggota pentadbiran kerajaan, pembangkang, penjawat awam, rakyat biasa mahupun ahli-ahli badan bukan kerajaan untuk kembali kepada prinsip itu kerana ia adalah antara kekuatan negara.

“Kembalilah kepada prinsip-prinsip ini dan insya-Allah Beta yakin kita akan dapat merungkaikan apa jua permasalahan yang dihadapi.

“Ini untuk memastikan keharmonian, perpaduan dan sikap toleransi antara pelbagai kaum dan penganut agama terus dipelihara demi kesejahteraan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2010 kepada 240 penerima yang memberikan khidmat cemerlang kepada wilayah berkenaan di Istana Negara di sini hari ini.

Berangkat sama pada majlis itu ialah Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin serta isteri, Datin Nafesah Raja Nong Chik.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mendahului senarai penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat berkenaan apabila dianugerah darjah kebesaran Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Turut dianugerahkan SUMW ialah bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Tujuh orang pula menerima darjah kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri manakala 27 dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerimanya ialah chef profesional negara, Redzuawan Ismail atau Chef Wan.

Seramai 32 yang lain dianugerah Johan Mahkota Wilayah (JMW), 39 orang menerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), 43 dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 90 orang menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Dalam pada itu, Tuanku Abdul Halim bertitah, setiap tindakan dan keputusan yang diambil oleh penjawat awam hendaklah berpaksikan kepada kepentingan rakyat keseluruhannya selaras dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

“Menjadi harapan Beta agar tanggungjawab ini dilaksanakan dengan penuh amanah dan kesungguhan supaya kebajikan rakyat jelata sentiasa terpelihara,” titah baginda.

Menyentuh mengenai sambutan Hari Wilayah Persekutuan Ke-36 hari ini, baginda bertitah, usaha-usaha berterusan hendaklah dilaksanakan bagi membendung kewujudan kawasan setinggan di Kuala Lumpur dan Labuan.

“Beta percaya pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan memberikan perhatian serius kepada usaha meningkatkan tahap bagi aspek-aspek yang dapat menjamin dan menjadi pengukur kepada kesejahteraan bandar seperti keselamatan, kualiti hidup, kebersihan, kesempurnaan perkhidmatan dan kemudahan.

“Pastikan tumpuan bukan diberikan kepada penambahbaikan kehidupan di Kuala Lumpur dan Putrajaya sahaja, tetapi hendaklah merangkumi Labuan dan bandar-bandar utama lain di seluruh Malaysia,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah, baginda amat gembira menerima laporan mengenai kejayaan program penjualan unit-unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat, Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Usaha-usaha bagi membolehkan rakyat, terutama sekali golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri hendaklah diteruskan dan dilakukan juga di bandar-bandar utama di seluruh Malaysia,” titah baginda.

Dalam perkembangan berkaitan, baginda menyeru warga Wilayah Persekutuan supaya bersatu padu dan memberikan sokongan penuh kepada segala usaha kerajaan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara dalam menempuh kegawatan kewangan global.

Tuanku Abdul Halim bertitah, dalam keghairahan mengejar kemajuan fizikal dan ekonomi, prinsip kelestarian alam sekitar janganlah diketepikan.

“Beta berharap setiap agenda pembangunan akan mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar,” titahnya.

Baginda juga berharap penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat itu akan terus menjadi pendorong dan pembakar semangat kepada semua penerima untuk berganding bahu serta bersatu hati ke arah mencapai matlamat 1Wilayah Persekutuan, Maju dan Sejahtera.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url