Top Ad 728x90

Hadkan tempoh khidmat penjawat awam - CUEPACS

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengehadkan tempoh khidmat penjawat awam yang berurusan dengan orang ramai di satu-satu tempat tidak lebih dari lima tahun.

Presidennya, Omar Osman berkata, langkah itu perlu memandangkan tempoh khidmat yang terlalu lama akan mendedahkan penjawat awam itu kepada amalan rasuah sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Menurutnya, ia juga sejajar dengan matlamat CUEPACS sempena sambutan Hari Pekerja 1 Mei ini untuk mencapai sasaran sifar rasuah sebelum hujung tahun.

''Kadang-kadang ada penjawat awam di satu-satu tempat itu berkhidmat sehingga 10 tahun dan bila sudah sampai tempoh itu, dia mesti sudah dikenali oleh mereka yang berkepentingan.

''Jadi bagi kita, JPA kena ada had iaitu antara tiga hingga lima tahun sahaja bagi penjawat awam yang berurusan dengan orang ramai termasuklah bahagian penguatkuasaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed di sini hari ini.

Pada 2007, seramai 303 penjawat awam ditangkap atas kesalahan rasuah dan pada 2008 pula membabitkan 282 orang manakala tahun lepas, ia menurun kepada 194 orang.

Sehubungan itu, Omar memberitahu, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam berhubung cadangan tersebut secepat mungkin.

Ini kerana, tambah beliau, pihaknya mahu JPA mengeluarkan surat pekeliling berhubung cadangan itu kepada semua jabatan dan agensi kerajaan.

''Kita tidak mahu lagi penjawat awam dituduh seolah-olah meminta rasuah tetapi kita mahu jadi pelapor utama kepada SPRM jika wujud amalan rasuah di tempat kerja masing-masing.

''Walaupun amalan rasuah di negara ini tidaklah begitu tinggi berbanding negara lain tetapi ia perlu diambil tindakan segera oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan turun padang bertemu ahli kongres CUEPACS di setiap negeri bagi memastikan kempen memerangi rasuah di kalangan penjawat awam itu berkesan.

''Kita mahu jadikan kempen itu sebagai satu gerakan massa yang akan mendapat sambutan setiap ahli kesatuan tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90