Top Ad 728x90

Misi mewujudkan persekitaran sejahtera

Hari Bumi 2010 disambut dengan sederhana di negara kita pada 22 April lalu dan sebulan sebelumnya Sambutan Hari Air Sedunia. Pelbagai acara diadakan oleh pelbagai pihak seperti menanam pokok atau mencuci pantai dan aktiviti meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan air kepada pelbagai kumpulan masyarakat.

Sambutan Hari Bumi tahun ini adalah kali ke-40, yang diiringi pelbagai kebimbangan apatah lagi apabila kawasan luar bandar Iceland digegarkan dengan gegaran kuat daripada gunung berapi Eyjafjallajokull baru-baru ini.

Gegaran ini mengeluarkan abu yang menyebabkan berpuluh-puluh ribu penerbangan di seluruh Eropah dibatalkan malah juga di pelbagai negara lain termasuk Malaysia. Ibu negara, Reykjavik dan pusat penempatan lain dilaporkan terselamat daripada pencemaran apabila kepulan abu dari Eyjafjallajokull bergerak ke tenggara menghala ke benua Eropah, tetapi peladang dan ternakan di Iceland terpaksa berlindung di dalam bangunan apabila kawasan sekitar diselubungi abu.

Walaupun kesannya terhadap perubahan iklim dan pelbagai aspek yang membabitkan alam sekitar masih lagi diteliti dan dibincang, dalam jangka pendek ini, ia memberi impak ekonomi dan mobilisasi manusia di seluruh dunia.

Dalam bayangan itu, sambutan Hari Bumi seharusnya memberikan peluang sejenak untuk kita sama-sama merenungi peranan masing-masing dalam usaha mewujudkan bumi yang sejahtera dalam pelbagai aspek kerana ia memberi kesan besar terhadap masa depan seluruh umat manusia.

Perubahan iklim menjadi antara cabaran besar kepada semua pihak dalam memastikan bumi dapat diwariskan kepada generasi akan datang dalam keadaan yang sewajarnya dan sejahtera.
Di samping perubahan iklim, wujud sekurang-kurangnya tujuh lagi isu yang disenaraikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menyambut Hari Bumi pada tahun ini yang harus diberikan perhatian sewajarnya.

Ia meliputi usaha advokasi yang memerlukan kerjasama rapat di antara aktivis alam sekitar yang seiring dengan dasar diputuskan oleh pemimpin masyarakat, usaha pemuliharaan dan kepelbagaian bio, proses pendidikan, tenaga, makanan dan pertanian, ekonomi hijau, persekolahan yang lebih bersifat ‘hijau’, kitar semula dan pengurangan bahan buangan, pembangunan lestari dan air.

Jaringan Hari Bumi seharusnya mendekatkan jurang antara mereka yang begitu prihatin terhadap alam sekitar dengan mereka yang membuat keputusan dasar terutama pemimpin masyarakat.

Kesibukan kita dalam menangani pelbagai isu politik semasa barangkali menyebabkan kita tidak peduli isu alam sekitar yang akan menentukan nasib dan masa depan umat manusia bukan saja di dalam negara, malah juga nasib manusia sejagat.

Proses pendidikan yang ada harus berupaya mendorong pelajar seawal mungkin untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjaga bumi ini.
Kanak-kanak harus dididik untuk menghargai alam di mana dia berada, daripada saat bangun tidur hinggalah kembali tidur dan seterusnya memulakan hari berikutnya.

Kita tahu bahawa air adalah antara sumber yang sering diabaikan. Daripada data yang ada, hanya satu peratus sumber air yang ada di bumi sesuai untuk diminum. Kira-kira 70 peratus daripada sumber air yang ada digunakan untuk pertanian di seluruh dunia, manakala 20 peratus lagi digunakan untuk industri dan hanya 10 peratus untuk kegunaan harian.

Kegiatan manusia dalam tempoh 50 tahun ini menjadikan sumber air kita tidak lagi seperti dulu. Dianggarkan 2.5 bilion manusia di seluruh dunia menghadapi masalah bekalan air bersih.

Setiap hari dianggarkan 2 juta tan bahan buangan tercemar dibuang dalam pengairan di seluruh dunia.

Kira-kira 1.5 juta kanak-kanak mati setiap tahun kerana penyakit disebabkan oleh kualiti air yang tidak sempurna.

Bagaimana pula kita berupaya melaksanakan proses pembangunan yang lestari untuk mewujudkan bumi yang sejahtera kerana aktiviti manusia yang tidak lestarilah menyebabkan bumi terancam.

Antaranya ialah pencemaran air dan alam sekitar yang semakin meruncing, pembangunan fizikal yang merosakkan alam semula jadi, aktiviti pembangunan pantai tidak terkawal malah juga pembangunan lain dilakukan dari semasa ke semasa, termasuk di negara kita.

Kerana itu, walaupun secara umumnya kita masih mengekalkan kehijauan alam di banyak tempat di negara kita, masih banyak kehidupan dan ‘kehijauan’ dikorbankan untuk pembangunan.

Bagi generasi lama yang kini berusia sekitar 50 tahun ke atas yang berasal dari kampung dan desa, tentunya sedikit sebanyak dapat merasakan yang generasi semasa yang lahir sekitar tahun lapan puluhan, sudah hilang peluang menikmati ‘kehijauan’ dan keseronokan hidup di desa pedalaman.

Hari Bumi datang dan pergi, namun yang penting ialah sejauh mana ia mampu menyedarkan kita terhadap peranan yang boleh dimainkan oleh semua pihak dalam mensejahterakannya.

Pendidikan pada semua peringkat termasuk pengajian tinggi perlu menjadi alat utama dalam mentransformasikan pemikiran dan tindakan secara lestari pada masa depan. Ini memerlukan tindakan bersama oleh semua pihak secara berterusan.

Kejadian seperti letusan gunung berapi Eyjafjallajokull, tsunami di pelbagai ceruk dunia, bencana alam dan pelbagai kemusnahan yang sebahagiannya disebabkan oleh kesilapan manusia dan pelbagai lagi yang terjadi kebelakangan ini, memberi isyarat kepada kita untuk lebih menghargai kehidupan dan bumi yang didiami ini untuk kesejahteraan pada masa depan.

Di negara kita, cuaca panas begitu dirasai, banjir kilat, tumbangnya bangunan tinggi, bekalan air yang dikatakan semakin kontang dan sebagainya harus dilihat sebagai antara tanda amaran yang kita tidak harus mengabaikan proses pendidikan untuk pembangunan lestari di kalangan anak-anak malah juga masyarakat, apatah lagi mereka yang membuat keputusan penting terhadap proses pembangunan setempat.

Sikap tidak peduli dan tidak kisah akan menyebabkan bumi terancam dan kehidupan kita akan terus diselubungi kebimbangan dan ketakutan apatah lagi kesannya terhadap kehidupan manusia sejagat apabila berlakunya pelbagai kehancuran dan kerosakan disebabkan oleh tindak balas alam yang tidak kita ingini.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90