Mewarnakan semula 13 Mei

Oleh KHAIRUDDIN MOHD ZAIN

PENULIS agak tersentak sedikit apabila ditanya anak berumur 9 tahun tentang 13 Mei. Apabila ditanya semula tentang di mana dia mengetahui tentang 13 Mei, jawapannya agak mudah - dia terlihat sebuah buku bertajuk 13 Mei: Sebelum dan Selepas' terbitan Utusan Publications and Distributors yang terselit di perpustakaan kecil kami di rumah. Peliknya, dia terjumpa buku tersebut kelmarin; kira-kira dua hari sebelum 13 Mei datang kembali.

Sejujurnya, penulis ambil masa sedikit untuk memulakan penerangan. Apakah perlu elemen 'rusuhan kaum' yang diberikan penekanan? Apakah kanak-kanak sekecil ini layak diberikan gambaran buruk 'ekstremisme politik' dalam usia yang belum matang.

Lalu, penulis mengambil jalan yang sangat selamat. Menerangkan bagaimana setiap daripada kita perlu mempunyai semangat dan kesungguhan untuk menyayangi negara dalam erti kata yang sebenarnya.

Penulis menyoal anak, 'apa yang kakak rasa sewaktu menyanyikan lagu Negaraku di perhimpunan? "Kakak rasa sayang kepada Malaysia. Ini tempat lahir kakak." Betul, dan semuanya perlu bermula dengan benih 'kecil' sayangkan negara.

Baru-baru ini, penulis juga terlihat satu gerakan luhur untuk mewarnakan semula 13 Mei oleh beberapa pihak di dalam media baru. Apa warna asal 13 Mei? Warna merah contengan anti-kerajaan dan permusuhan kaum di sekitar Kuala Lumpur? Atau warna hitam dan kelabu kepul asap kereta dan kedai yang terbakar?

Ataupun warna 'hitam pekat' hati manusia yang sanggup mengorbankan ideal 'kepentingan bernegara' demi tuntutan dan kepentingan politik. Atau warna gelap hati mereka yang gagal menghayati ideologi longgar lagi asing kepada bumi Malaysia.

Pertanyaan anak membuka hati penulis membaca semula karya Tunku. Tulisan Tunku banyak dilapis dengan rasa kecewa. Sebagai Bapa Kemerdekaan, siapa yang sanggup melihat 13 Mei 1969 berlangsung hanya 12 tahun selepas merdeka.

13 Mei 1969 membawa khabar buruk; mengiakan negara ini adalah 'bom jangka' yang meletup selepas 12 tahun. Jangkaan bangsa penjajah seakan-akan terjawab dengan 13 Mei.

Namun, apa sebenarnya akar di sebalik Tragedi 13 Mei? Apakah rasa 'kurang senang' yang terkumpul lama? Apakah ia didasari oleh haloba kuasa? Apakah ia membayangkan betapa longgar semangat kenegaraan? Atau ia membayangkan betapa mudah kita menjadi 'bidak' kepada permainan politik orang lain?

Apa pun, 13 Mei memang perlu dan wajar diwarnakan semula dengan 'gaya fikir dan kemahuan hati' generasi muda Malaysia seluruhnya. Kita tidak perlu terus dibebani dengan 'warna lama' yang tidak menguntungkan sesiapa.

Sebagai anak Melayu, perspektif penulis tentang 13 Mei 'diwarnakan' oleh seorang guru silat yang pernah 'mewarnai' 13 Mei itu sendiri. Ceritanya jelas. Ingatannya luar biasa. Perinciannya memang mampu membangkitkan bulu roma dan jiwa penentangan.

Namun, ia diwarnakan semula dengan 'warna jernih' sewaktu menuntut di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Ada 'warna lain' yang perlu setiap daripada kita jernihkan daripada perspektif asal 13 Mei.

Anak-anak kecil penulis tidak perlu terlalu diingatkan dengan memori 'warna hitam dan merah pekat' 13 Mei. Anak-anak kita jangan diwarnakan dengan 'warna dendam dan penting diri'.

Apa yang penting, mereka perlu diwarnakan dengan cita negara, visi nusa dan cita-cita kita sebagai bangsa Malaysia. Mereka tidak perlu dididik dengan 'warna' yang salah. Ini termasuklah 'warna politik' yang mendahulukan individu dan kelompok tertentu.

Apakah kita mampu mengharapkan 'warna jernih'; kalau yang selalu kita bangkitkan adalah aura kemarahan dan ekstremisme politik? Apakah kita mampu menjernihkan perspektif kalau segalanya diletak sebagai angkubah 'untung rugi politik'? Apakah semua yang membawa 'laba politik' dihalalkan walaupun terpaksa menyandarkan masa depan negara sebagai cagaran?

Cita-cita 1Malaysia itu sendiri mampu menjadi asas 'warna baru' kepada semua cerita lama. Bukanlah cerita itu tidak penting. Bukanlah kita tidak menghargai pengorbanan. Namun, untuk 'survive' dalam dunia kompetitif ketika ini; kita perlukan mengurangkan 'tona warna dendam'; dan menyuburkan warna kerjasama, menghormati Perlembagaan dan kasihkan negara.

Warna baru 13 Mei adalah untuk kita menghargai satu sama lain sebagai 'anak bangsa Malaysia' yang terlindung di dalam niat Perlembagaan. Tidak lebih dan tidak kurang. Dengan itu, yang 'hak dan milik' jangan sewenang-wenangnya mahu ditolak. Yang lahir dan besar di tanah bertuah ini; jangan dianggap sebagai 'asing'. Inilah permulaan warna baru.

Rasanya tidak sukar kalau kita mengamalkan sikap li-taarafu dan saling menghormati. Isu yang sukar dan keras; kita wajar ketepikan sementara - dalam merangka kejayaan bernegara yang lebih besar.

Generasi muda Malaysia tidak mahu terus terbeban dengan 'warna lama' - namun tidak juga mahu ia hilang sebagai warna iktibar dan ingatan.

Jangan sangsi dengan istilah 'hidup', 'bangkit' dan sebagainya. Yang nyata, orang Melayu sedang mencari psyche tepat dalam merangka perjalanan ekonomi dan politik mereka sendiri ketika padang persaingan.

Warna baru 13 Mei - mesti diisi dengan warna asas yang betul dan tepat. Sejarah menjadi pengajaran dan iktibar. Jangan kita menjadi terlalu 'fobia' dengan sejarah pedih; kerana hanya dengan 'penerimaan hakikat' kepedihan - kita mampu menjadi lebih 'bersyukur' dengan kedudukan kita sekarang.

Sebagai anak Melayu, Cina, India, Bidayuh, Kadazan, Orang Asli - dan semua bangsa yang ada; ini masa kita mencari 'rentak fikir dan alun tindakan' yang sama. Kita mahu melangkah ke hadapan dengan 'warna' baru; warna yang memberi kita 'petak hak' di bawah langit Malaysia yang sama.

Penulis tidak mahu berselindung dengan 'warna asal' 13 Mei jika ditanya lagi oleh anak di masa akan datang. Tapi kali ini, penulis akan menyerahkan 'berus lukisan' agar dia melukis sendiri wajah Malaysia yang dia mahu.

Keselesaan anak penulis berkawan dengan rakan-rakan pelbagai kaum dan ras membuatkan penulis yakin - mereka tahu 'warna dan wajah' yang mereka inginkan.

Seperti yang diungkapkan dalam Prakata buku 13 Mei: Sebelum dan Selepas: "...peristiwa 13 Mei akan terus digunakan untuk tujuan politik masing-masing selagi tiada usaha mencari kebenaran dan bermaaf-maafan untuk mencapai perpaduan nasional sebenar."

Segalanya ada dalam tangan kita; moga 13 Mei tidak berulang lagi dek kerana kepentingan politik yang kecil - namun mengorbankan cita bangsa yang lebih besar.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url