Ford Everest
Untuk kategori kenderaan lasak pacuan empat roda, jenama Ford Everest mantap di benak kepala sebagai sebuah jentera yang sangat berkeupayaan bukan sahaja daripada segi prestasi tetapi juga mengangkut tujuh penumpang dengan selesa.
Ini terbukti dalam sesi pandu uji dari Shah Alam menuju ke Empangan Semenyih melalui lebuh raya, jalan 'kampung' dengan kesesakan di pekan Semenyih hingga jalan berbukit di empangan sebelum memasuki Sungai Lui dan keluar di Ulu Langat.
Sistem gantungan yang bagus dengan kemantapan enjin, sekembalinya ke Shah Alam tidak merasa kepenatan duduk lama dalam kenderaan, meskipun dihambat cuaca panas. Ini dibantu lagi dengan faktor terdapat sistem aliran pendingin hawa sehingga ke kerusi baris ketiga. Lebih penting, ruang kaki dan lebar kerusi pada baris ketiga tetap selesa dihuni oleh dua orang dewasa.
Ford Everest yang dilancarkan ke pasaran Malaysia pada Ogos tahun lalu ini, menampilkan reka bentuk serba baru dan pelbagai ciri kontemporari, sesuai dengan imej teguh dan perkasa Ford. Sebagai kenderaan utiliti sports (SUV) paling hebat di atas dan luar jalan, Ford Everest ini dilihat teguh, aktif dan serba guna dengan keupayaan luar jalan unggul dan kekuatan Built Ford Tough (Binaan Ford Teguh), ditambah pula dengan tahap keselesaan dan perapian yang bermutu tinggi.
Ford Everest baru ini merintis beberapa unsur reka bentuk baru, diterajui oleh reka bentuk depan baru dengan jeriji krom berbilang bar yang nyata ada kelas dan kekisi bawah berwarna krom yang menjadi tumpuan. Digabungkan dengan lampu depan melilit, gaya unik lagi tersendiri ditampilkan. Yang membezakan Everest baru ini ialah lekuk pada fender kiri dan kanannya dengan nama Everest pada besi krom. Ia banyak mengingatkan kepada reka bentuk Range Rover.
Satu aspek yang pasti menarik perhatian bakal pembeli ialah Ford tidak membezakan sangat rekaan dalaman antara varian 2.5 liter dengan 3 liter. Pertamanya,
kerusi bersarung kulit. Kedua-dua varian dipasang kulit. Ini memperlihatkan strategi pemasaran yang pintar di pihak Sime Darby Auto ConneXion Sdn Bhd ialah anak syarikat milik penuh Sime Darby Motors Division dan merupakan pengedar kenderaan Ford di Malaysia. Jika sebelum ini, untuk pembeli mengecapi semua aksesori dalaman, mereka perlu mendapatkan varian 3 liter. Jadi sekarang, varian 2.5 liter (transmisi automatik) pun sudah bergaya, fokus jualan akan lebih mudah. Yang membezakan hanya kapasiti enjin.
Ford Everest generasi ketiga ini boleh didapati dengan enjin turbodiesel rel sepunya TDCi DuraTorq 2.5-liter 143PS atau 3.0-liter 156PS. Setiap satu menjanjikan tindak balas yang cemerlang dan kuasa kilas (torque) terbaik dalam kelasnya.
Bagi enjin 2.5 liter transmisi automatik dan manual, kuasa maksimum ialah 141 kuasa kuda pada 3,500 revolusi per minit (rpm) dengan kuasa kilas 330 Newton meter pada 1,800 rpm. Versi 3 liter adalah lebih sedikit iaitu 154 kuasa kuda pada 3,200 rpm dan kuasa kilas 380 Nm dan 1,800 rpm.
Pelanggan mempunyai pilihan sama ada menggunakan transmisi manual lima kelajuan atau transmisi automatik canggih lima kelajuan dengan Everest 2.5L baru. Sementara itu, model 3.0L hanya disediakan dengan transmisi automatik lima kelajuan. Kedua-dua pilihan dilengkapi sistem pertukaran elektronik sambil bergerak untuk memudahkan pemilihan mod 2WD atau 4WD. Misalnya, untuk pemanduan dalam hutan dan memerlukan anda 'memanjat' tebing, mod tersebut boleh dinyalakan dan kuasa dibekalkan kepada semua roda.
Daripada segi keselamatan, ia bermula dengan binaan badan yang lebih keras bagi memastikan perlindungan keseluruhan. Duduk di dalam Everest, anda bagaikan duduk dalam sebuah kerangka kukuh dengan ciri-ciri keselamatan seperti beg udara depan dan sisi bagi pemandu dan penumpang depan, Sistem Anti-Kunci Brek (ABS) dengan Edaran Kuasa Brek Elektronik (EBD) yang memberi lebih keyakinan dan keselamatan semasa membrek.
Ford Everest 2009 dibina di loji pemasangan Auto Alliance Thailand di Rayong, Thailand dan dipasarkan di 75 negara. Ford Everest yang diimport sepenuhnya boleh didapati dengan waranti 3 tahun/100,000km, yang mana lebih awal. Terdapat lima warna untuk dipilih iaitu Arizona Gold, Black Mica, Desert Bronze, Cool White dan Silver Metallic.
- UTUSAN