Hayati Perlembagaan elak perselisihan - PM

MELAKA 21 Mei - Rakyat diminta agar lebih memahami Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara bagi mengelak berlakunya perselisihan yang boleh menyumbang kepada terhakisnya kepercayaan dan kesetiaan antara kaum hingga menjejaskan keharmonian negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika asas- asas kenegaraan itu difahami ia dapat mengelak daripada kecenderungan sebahagian kelompok dan individu tertentu mempertikaikan hak dan keistimewaan kaum-kaum lain hingga boleh menyumbang kepada terjejasnya perhubungan yang sekian lama terjalin.

Menurutnya, dalam era globalisasi, mengekal dan memperkukuhkan perpaduan bukan suatu yang mudah kerana menghadapi pelbagai cabaran dan halangan berbanding usaha-usaha untuk membangunkan negara.

''Hakikatnya, penghayatan kepada nilai-nilai ini perlu sentiasa dipertingkat dan diperkukuhkan kerana nilai-nilai sejagat ini berupaya menjadi penghubung dan pemangkin ke arah mewujudkan perpaduan yang lebih jitu.

''Penerapan nilai-nilai ini wajar dimulakan di peringkat institusi keluarga, kelompok agama, masyarakat setempat, pertubuhan-pertubuhan serta melalui institusi pendidikan bagi memastikan perhubungan antara kaum terus kukuh.

''Oleh itu, setiap individu perlu memainkan peranan untuk memastikan segala usaha ini dijalankan secara berterusan supaya nilai-nilai positif itu menjadi budaya dan amalan hidup masyarakat keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis pelancaran sambutan Minggu Perpaduan 2010 Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini malam ini.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan.

Muhyiddin berkata, rakyat perlu mengambil iktibar daripada pergolakan yang berlaku di negara lain yang mempunyai penduduk daripada berbilang kaum tetapi kerapuhan faktor kerjasama dan persefahaman telah mewujudkan pergolakan dalaman hingga menggugat kestabilan negara terbabit.

Katanya, berlainan dengan masyarakat di negara ini, beliau percaya lebih bersopan-santun dan berbudi bahasa serta menaruh keyakinan tinggi terhadap para pemimpinnya.

''Tidak ada satu pun pemimpin mana-mana negara di dunia ini yang inginkan persengketaan, malah para pemimpin akan sentiasa berusaha untuk memajukan dan memakmurkan rakyat serta negara masing-masing," katanya.

Beliau berkata, selain daripada kaum-kaum utama, kaum dari etnik lain di negara ini juga perlu diberikan perhatian agar mereka turut berperanan dalam memastikan perpaduan antara kaum dapat dipertahankan.

''Keunikan inilah yang boleh menjadi pemangkin bagi menyemai semangat kebersamaan dan kekitaan di kalangan rakyat yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya untuk hidup dengan lebih harmoni," katanya.

Beliau berkata, perpaduan tidak hanya tertumpu kepada waktu-waktu atau dalam tempoh tertentu sebaliknya ia perlu berterusan merentasi wilayah, negeri mahupun budaya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url