Hutang bukan untuk diwarisi
Malah, skim pembelian rumah seperti ini turut dilaksanakan dengan jayanya di Jepun dan negara-negara Barat.
Di Malaysia yang pasaran hartanah boleh dikatakan agak mahal lebih-lebih lagi di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, skim ini pastinya membuka peluang kepada lebih ramai penduduk memiliki rumah.
Dengan harga rumah kos sederhana ketika ini yang mencecah sehingga RM150,000 ke atas, mereka yang berpendapatan RM3,000 sebulan sahaja yang layak memiliki hartanah tersebut.
Keadaan akan menjadi lebih sukar kepada mereka yang berumur dalam lingkungan 35 ke 40 tahun kerana pinjaman perumahan kebiasaannya akan diberikan sehingga tempoh mereka bersara. Ini bermakna bagi golongan ini, mereka hanya mempunyai tempoh sekitar 15 ke 20 tahun untuk membayar pinjaman perumahan.
Tempoh yang singkat itu juga bermaksud mereka perlu membayar bulanan yang tinggi iaitu melebihi kemampuan bulanan mereka. Justeru, skim dua generasi ini menawarkan jalan keluar menerusi bayaran pinjaman yang lebih lama dan bayaran bulanan yang lebih rendah.
Ia akan menggabungkan tempoh pinjaman antara dua orang ahli keluarga seperti bapa dan anak yang boleh dipanjangkan tempoh bayarannya sehingga sebagai contoh, 50 atau 60 tahun.
Selain bayaran bulanan yang murah, pinjaman dua generasi ini juga memberi peluang untuk sebuah keluarga mendapatkan rumah yang lebih selesa kerana kemampuan pendapatan mereka juga semakin bertambah.
Di pihak bank dan pemaju hartanah, skim itu sudah pasti akan lebih merancakkan industri tersebut kerana hampir setiap keluarga kini berpeluang membeli rumah lebih-lebih lagi rumah kos rendah dan sederhana.
Pinjaman dua generasi sebelum ini pernah diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membolehkan golongan miskin memiliki rumah kos rendah.
Bagaimanapun, skim itu mendapat bantahan banyak pihak yang bimbang ‘gadai janji keluarga’ itu akhirnya membebankan pengguna kerana perlu membeli rumah pada harga yang mahal.
Ini kerana pengguna perlu menanggung kadar faedah yang lebih tinggi ekoran tempoh pinjaman yang dipanjangkan. Skim itu juga mendapat bantahan kerana pengguna tidak yakin rumah kos rendah itu masih berkeadaan baik sehingga tempoh bayaran berakhir.
Kebimbangan yang sama juga tidak boleh dielakkan daripada cadangan skim dua generasi ini yang dibangkitkan semula oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Meskipun beliau menegaskan ada institusi kewangan tertentu yang berjaya menerusi skim itu, namun risiko di pihak pengguna juga perlu diambil kira.
Secara pengiraan mudahnya, semakin panjang sesuatu pinjaman, maka semakin banyak pula kadar faedah yang perlu dibayar oleh pengguna. Pinjaman perumahan yang kebiasaannya berganda dua, boleh menjadi berganda tiga menerusi perlaksanaan skim ini.
Secara jangka panjang, ia adalah satu bentuk kerugian yang tidak kelihatan di pihak pengguna dan keuntungan yang berlipat ganda kepada institusi kewangan. Maka, tidak wujud situasi di mana pihak kerajaan dan bank benar-benar bermaksud membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri kerana mereka sebenarnya terpaksa membayar lebih mahal.
Lebih malang, sesebuah keluarga moden hari ini akan mewariskan sesuatu yang baru buat generasi keluarganya iaitu hutang.
Skim dua generasi dengan sifat keuntungan berlipat kali ganda kepada bank juga tidak kena ketika kerajaan mempromosikan gaya hidup berbelanja dengan berhemat di kalangan rakyat. Ia hanya akan menggalakkan rakyat mendapatkan sesuatu di luar kemampuan mereka sehingga terpaksa mengajak ahli keluarga lain terbabit sama dalam soal perbelanjaan itu.
Ini adalah sesuatu yang membimbangkan kerana ketika ini sekali pun, generasi baru sedang berdepan dengan ancaman kad kredit yang hutangnya mencecah berbilion ringgit. Jika kemudahan seperti ini dibenarkan, maka bertambahlah beban hutang generasi baru ini kerana ia pastinya mendapat sambutan rakyat Malaysia yang gila berbelanja.
Perlu ada kawal selia yang jelas dalam perlaksanaan skim ini supaya akhirnya tidak hanya menguntungkan pihak bank, malah paling utama memastikan kepentingan pengguna terbela. Kawal selia itu juga perlu melihat bagaimana peralihan hutang antara generasi ke generasi tersebut tidak menimbulkan masalah sosial yang berat dalam masyarakat.
Kita tidak mahu nanti ada bapa dan anak berbalah atau naik turun mahkamah kerana kegagalan menguruskan hutang rumah yang mereka persetujui bersama. Rakyat Malaysia ketika ini sudah banyak didedahkan dengan kemudahan berhutang yang ada antaranya tidak mungkin dapat dilangsaikan ketika hayat mereka.
Pengenalan skim pinjaman dua generasi ini bagaimanapun seolah-olah memberi talian hayat baru kepada mereka untuk terus hidup dengan meminjam. Kerajaan barangkali perlu mengambil iktibar daripada krisis kewangan di Amerika Syarikat pada 2008 yang kesannya masih menjerut kebanyakan negara termasuk Malaysia hari ini.
- UTUSAN