Kampus ketiga UiTM Perak di Bagan Datoh

Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan membuka sebuah lagi kampus cawangannya yang ketiga di Perak iaitu di Bagan Datoh, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, projek pembinaan kampus yang menelan belanja RM250 juta di kawasan seluas 40 hektar itu dijangka siap pada 2013 dan apabila disiapkan ia bakal menempatkan kira-kira 5,000 pelajar.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program khidmat masyarakat dan kem pendidikan anjuran Universiti Teknologi Malaysia di sini hari ini beliau berkata, UiTM Perak kini mempunyai sebuah kampus di Seri Iskandar dan kampus kedua di Tapah kini dalam pembinaan.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh berkata, selain kampus UiTM, dua buah sekolah juga akan turut dibina di Bagan Datoh dalam masa terdekat iaitu Maktab Rendah Sains Mara dan Sekolah Menengah Teknik.

Menurutnya, pembinaan MRSM membabitkan kos RM70 juta di kawasan seluas 20 hektar dan bakal menempatkan 1,500 pelajar manakala Sekolah Menengah Teknik di kawasan seluas lapan hektar dengan kos RM30 juta bakal menempatkan 1,000 pelajar.

Beliau berkata, tiga buah pusat pengajian itu nanti akan menjadi mercu tanda utama kepada Bagan Datoh sebagai sebuah kawasan gedung ilmu tersohor di Perak.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url