Kompaun RM300

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang mengenakan kompaun minimum RM300 bagi semua pesalah trafik yang liat menjelaskan kompaun mereka dalam tempoh yang ditetapkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan berkata, cadangan itu termasuk dalam pindaan Akta JPJ 1987 yang akan dibentang di Kabinet pada Jun ini.

"Jumlah RM300 adalah kompaun maksimum yang dikenakan mengikut akta sekarang, dan dengan pindaan kelak jumlah kompaun minimum bermula dari RM300," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Satu Komuniti Satu JPJ di Felda Tenang, di sini, hari ini.

Solah berkata langkah itu adalah susulan cadangan pihaknya mengenakan penalti kepada pesalah trafik yang lewat menjelaskan kompaun dan akan dilaksana selepas mendapat persetujuan Kabinet.

Beliau bagaimanapun menegaskan langkah mengenakan penalti minimum RM300 kepada pesalah ingkar bukan bertujuan meningkatkan kutipan.

"Kita mahu mendidik masyarakat supaya bertanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan. Pengguna jalan raya jangan lakukan kesalahan jika tak nak bayar kompaun atau denda," katanya.

Beliau berkata masih ada 16.9 juta saman dari tahun 2000 hingga 2008 yang belum dijelaskan dengan nilai kompaun dianggar mencecah RM2.5 bilion.

Selain itu JPJ juga mencadangkan kadar kompaun baru bagi setiap kesalahan trafik selain memansuhkan pemberian diskaun, katanya.

"Untuk pemandu semua jenis kenderaan yang melakukan kesalahan yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya, kesesakan lalu lintas seperti memotong barisan dan kesalahan yang berkait dengan perkhidmatan seperti teksi yang tidak menggunakan meter, JPJ mencadangkan kadar kompaun sebanyak RM300 untuk tempoh sehingga 60 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan," katanya.

Bagi kesalahan yang berkait rapat dengan tingkah laku negatif pemandu dan kesalahan teknikal kepada kenderaan yang menyumbang kepada kemalangan seperti tiada lesen memandu dan berhenti di petak kuning, kompaun adalah RM200 (kurang 30 hari) dan RM300 untuk tempoh sehingga 60 hari.

"Manakala untuk motosikal di bawah 250cc yang melakukan kesalahan demikian bakal dikenakan RM150 (bagi tempoh 30 hari) dan RM200 (60 hari dari tarikh saman dikeluarkan).

"Untuk kesalahan pasif seperti lampu tidak menyala, lampu brek tidak berfungsi yang boleh meningkatkan risiko kemalangan, pemandu semua jenis kenderaan dikenakan RM150 (30 hari), dan RM200 (30-60 hari). Untuk motosikal bawah 250cc, sebanyak RM100 dikenakan untuk tempoh 30 hari dan RM200 (30 hingga 60 hari)," katanya. - BERNAMA

Bagi lain-lain kesalahan termasuk lesen memandu tamat tempoh, pemandu semua jenis kenderaan akan dikenakan RM70 (30 hari) dan RM150 (30 hingga 60 hari) sementara motosikal bawah 250cc RM50 (30 hari) dan RM100 (30-60 hari).

Solah berkata jumlah kompaun juga akan diseragamkan antara JPJ, polis dan pihak berkuasa tempatan.

— BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url