Khazanah Gopeng
Sejarah membuktikan Perak diakui sebagai negeri pembekal bijih timah utama negara sejak ratusan tahun sehingga ke zaman selepas merdeka. Kesan tinggalan aktiviti perlombongan cukup jelas, tetapi perubahan zaman menyaksikan banyak bukti fizikal itu diubah suai mengikut keperluan semasa.
Lombong di Taiping kini popular sebagai Taman Tasik Taiping dan menjadi tarikan kerana terletak bersebelahan Zoo Taiping serta bandarnya yang mempunyai banyak bangunan kolonial termasuk penjara, pejabat daerah dan tidak ketinggalan Stesen Kereta Api Taiping. Di Gopeng juga mengalami perubahan sama, banyak tanah lombong kini ditebus guna untuk projek perumahan, kampung tersusun, bangunan pejabat, sekolah dan jalan raya.
Dari aspek pembangunan, perubahan memang diperlukan tetapi timbul persoalan adakah semua tinggalan sejarah itu perlu diubah dan dihapuskan semata-mata untuk mengecapi permodenan.
Perlu diselidik kenapa Kota A Famosa di Melaka tidak dihancurkan semuanya dan apa kesan tinggalan pintu gerbang yang masih kekal kepada industri pelancongan, sedangkan Gopeng juga mempunyai kesan sejarah perlombongan yang hampir pupus iaitu paip air gergasi.
Batang paip besi dan laluannya sepanjang yang dianggarkan 14.5 kilometer batu itu pernah menjadi mercu tanda Gopeng ketika era kegemilangan industri perlombongan tetapi kini dipandang sebelah mata sebagai ‘besi buruk’ yang langsung tiada nilainya.
Jika dikira usianya, dianggarkan sudah lebih 160 tahun tetapi mungkin bagi pihak berkuasa tempatan, paip itu hanya suatu yang menyemak mata memandang dan perlu dibuang tanpa sebarang usaha mengekal atau menjadikan sebahagian daripadanya sebagai bahan sejarah.
Kedudukannya cukup mudah dikesan kerana jika melintasi jalan utama ke pekan Gopeng, pasti akan melalui satu jejantas lama yang diatasnya masih ada sisa batang paip besi yang bersambung antara Taman Gopeng Baru dengan masjid di seberang jalan.
Di bawah jejantas itu tertulis 4m (empat meter) menandakan kenderaan yang mempunyai ketinggian melebihi paras itu dilarang melaluinya. Di sebelah Taman Gopeng Baru, paras tanda itu semakin rendah dengan tanda 3m (meter).
Di situ juga ada dua laluan bawah jejantas yang hanya boleh memuatkan sebuah kenderaan pada satu-satu masa kerana kedudukannya di satu selekoh. Semakin jauh ke dalam kawasan kampung, semakin rendah laluan batang paip berkenaan.
Air yang dipam di puncak bukit di situ disalurkan ke kawasan rendah untuk aktiviti lombong dedah yang menggunakan banyak air untuk menembak dan menghancurkan tanah bukit sebelum diteruskan dengan kaedah mendulang.
Pada masa sama, penduduk juga mendapat manfaatnya melalui pemberian air percuma yang dibekalkan syarikat perlombongan Osborne and Chopper dan kerajaan negeri ketika itu.
Semua itu, hanya tinggal kenangan dan sejarah kerana penduduk di situ mendakwa banyak batang paip besi itu sudah dipotong dan dijual dengan izin. Apa yang ada hanyalah batang besi dianggarkan sepanjang 200 meter di pekan Gopeng dan bakinya di Kampung Sungai Itek.
Penduduk dan bekas pekerja lombong, Mokhtar Baki, 76, mengakui mereka kecewa dengan keadaan semasa dan mengharapkan kerajaan negeri mengambil tindakan segera dengan mengekalkan saki baki tinggalan sejarah.
Katanya, paip air besar itu sebenarnya dipam dari dua empangan iaitu Kampar Water Supplier (KWS) dan Jeranto Water Supplier (JWS) untuk kegunaan kira-kira 2,000 pekerja lombong, tidak termasuk penduduk tempatan.
Air dari kedua-dua empangan itu akan disalurkan untuk kawasan tadahan syarikat Osborne and Chopper dan bekalan air kerajaan (GWS).
“Itulah (batang paip besi) sejarah Gopeng, ‘trade mark’ orang sini. Dulu, penduduk dapat bekalan air percuma, cuma perlu gotong royong pasang paip dan salurkan ke rumah masing-masing. Air gunung sangat bersih dan sejuk.
“Kalau tak dikekalkan atau dijaga dengan baik, saya percaya dalam masa beberapa tahun akan datang, Gopeng langsung tak ada apa-apa,” katanya.
Berdasarkan cerita lisan, Mokhtar yang pernah berkhidmat sebagai Tentera British berpangkalan di Singapura, berkata batang paip besar itu ditarik ke puncak bukit menggunakan gajah kerana terlalu berat dan panjang.
Ada yang mendakwa batang paip itu ditarik di rel kereta api tetapi apa pun kaedah yang digunakan, ia mencerminkan suatu yang cukup sukar untuk menyambung paip air dari empangan atas bukit.
Bahkan, khidmat Orang Asli turut digunakan untuk menjaga kawasan empangan, manakala pekerja lain ditugaskan memantau sukatan air melalui rumah stim yang dikhaskan mengawal meter air atau jumlah air yang dilepaskan.
Paip besar banyak kenangan
BATANG paip besi Gopeng bukan sekadar membekalkan air bersih untuk penduduk dan aktiviti perlombongan tetapi meninggalkan seribu kenangan suka duka kepada penduduk yang menganggap ia sebahagian daripada hidup mereka.
Bagi kanak-kanak sekolah ketika itu, batang paip besar itu adalah laluan mereka merentasi kampung untuk ke sekolah. Saiznya yang cukup besar membolehkan kanak-kanak berjalan dan berlari di sepanjang laluan dan turun di mana-mana lokasi dikehendaki.
Bahkan, ada juga rumah yang dibina berdepan dengan saluran batang paip dan terpaksa membuat laluan khas untuk melintasi sama ada di bawah atau atas paip. Kebiasaannya, mereka lebih selesa melalui jalan bawah.
Namun, semua itu hanya tinggal kenangan dan sejak 1998 hinggalah 2009, hanya tinggal kurang 200 meter batang paip yang tinggal.
Penduduk, Shaari Ali, 59, mengakui batang paip itulah tempatnya bermain dan berkejaran bersama rakan untuk ke sekolah setiap hari.
“Laluan atas batang paip itu sepatutnya berlumut, tetapi disebabkan kami menggunakannya setiap hari, lumut pun tak sempat tumbuh, dah macam ada laluan khas,” katanya mengimbau kenangan sejarah paip Gopeng.
Katanya, jika ditanya pendapatnya mengenai kepentingan mengekalkan bahan sejarah itu, sudah pasti penduduk tempatan menyokong sepenuhnya kerana hanya itulah mercu tanda sejarah yang ada di Gopeng.
“Kami tiada ada kuasa untuk buat keputusan. Kenapa tidak pindahkan saki baki batang paip itu ke satu lokasi baru sebagai tatapan atau kekalkan di tempat asal dan baik pulih bahagian yang rosak, letakkan sedikit papan maklumat,” katanya.
Menurut cerita lisan, air di situ sangat sejuk hinggakan jika ada penduduk yang mengalami demam panas, mereka akan berbaring di atas batang paip itu untuk beberapa jam sehingga suhu badan turun ke paras normal.
Kini, penduduk kampung masih lagi menggunakan bekalan air bukit tetapi menggunakan batang paip baru yang lebih kecil dan disambung ke rumah dengan paip getah bersaiz tiga inci.
Bagaimanapun, mereka juga menghadapi masalah tekanan air tidak menentu disebabkan saiz batang paip utama dikatakan terlalu kecil dan tidak mampu menampung keperluan penduduk.
Info: Paip Air Gopeng dan aktiviti perlombongan
* Syarikat Osborne and Chopper ditutup 1994.
* Paip air besi disambung menggunakan pasak kayu.
* Ukuran batang paip:
# Garis pusat 48 inci
# Garis pusat 24 inci
* Jarak antara tiang: 600 meter
* Antara laluan saluran paip:
# Kampung Tersusun Gopeng
# Taman Gopeng Baru
# Lawan Kuda
# Kopisan Baru.
# Kampung Sungai Itek
# Kampung Pintu Padang
- BERITA MINGGU