Pencari madu lebah kaut untung
Pencari madu lebah liar sanggup mengambil risiko bergadai nyawa bagi mendapatkan madu dari sarang di dahan pokok tualang, pokok jerai dan kekabu yang tinggi di dalam rimba.
Khasiat madu lebah rimba amat popular dan mendapat permintaan tinggi daripada semua kaum untuk tujuan perubatan.
Madu lebah rimba yang diambil dari pokok tualang dan jerai dijual dengan harga mencapai RM70 bagi sekilogram atau sebotol.
Ia berwarna kuning keemasan dan rasanya amat manis kerana lebah rimba memungut madu dari setiap bunga di dalam rimba.
Di Baling, pencari madu lebah Shaari Ahmad, 53 dari Kampung Banggol Wan Mat, rakannya Md Taufik Harun, 52, dari Kampung Bukit Embok, Pulai dan Md Radzi Husain, 50, dari Kampung Pokok Sena, Baling setiap musim mampu mengumpul lebih 800 kilogram madu lebah untuk dijual.
Musim mengumpul madu lebah rimba ialah di awal Mac hingga April.
Lebah mula bersarang dan menghasilkan madu menjelang bulan Mac.
''Ketika lebah itu terbang, kita perlu memerhati ke arah mana halanya, tinggi atau rendah lebah itu terbang, berpandukan arah terbangnya boleh dikesan pokok mana lebah itu membuat sarang.
''Jika lebah itu terbang tinggi, biasanya sarangnya tidak jauh, sebaliknya jika rendah, sarang lebah itu jauh dari tempat itu,'' jelas Shaari Ahmad, 53 dari Kampung Banggol Wan Mat, Baling yang berpengalaman lebih 20 tahun sebagai pencari madu lebah.
Katanya, sebelum mendapatkan madu lebah, pokok di mana lebah bersarang perlu dipasang dengan tangga yang dibuat daripada kayu kecil dengan memakunya pada batang pokok bagi mudah memanjatnya hingga ke dahan pokok lebah membuat sarang.
Selain itu perlu disiapkan obor atau dipanggil "jamong" yang dibuat dari sabut untuk dibakar bagi menghalau lebah yang berkumpul di sarangnya sebelum madu lebah diambil.
Sengat lebah
Rakannya, Mohd Taufik Harun, 52 dari Kampung Bukit Embok, Pulai, pernah disengat sekumpulan lebah dua tahun lalu ketika hendak mengambil madu lebah di dahan pokok tualang yang tingginya lebih 150 meter.
Katanya dia hampir terjatuh dari ketinggian itu akibat diserang lebah secara tiba tiba pada waktu malam.
''Walaupun sakit terkena sengatan lebah, tetapi saya cuba tidak panik, jika tersilap saya boleh jatuh ke bawah,'' katanya.
Mohd Taufik yang berpengalaman sejak berusia 13 tahun mengikut bapanya mencari madu lebah, mempunyai petua sebelum membuat tangga untuk memanjat pokok yang terdapat sarang lebah -- " Jangan bercakap perkara yang tidak elok."
"Sepanjang pengalaman mencari madu lebah, saya telah disengat lebah banyak kali," katanya.
Jika terkena sengatan lebah dalam jumlah yang banyak, jangan mandi atau membasuh badan dengan air kerana ini akan membawa kepada lebih teruk, sebaliknya nyalakan unggun api dan duduk dekat api, lama kelamaan bisa sengatan lebah akan hilang, katanya memberikan petua yang diamalkannya.
Hasil pencarian
Md. Radzi berkata dia suka mengikut kedua-dua rakannya mencari lebah di hutan kerana seronok dengan pendapatan lumayan hasil jualan madu lebah itu.
''Biasanya kami beroperasi berempat, dua di atas pokok dan dua orang menunggu di bawah.
Mohd Taufik berkata setiap musim mendapatkan madu lebah, beliau mampu mendapat hingga RM4,000 hasil menjual madu lebah rimba kepada penggemarnya.
Bagaimanapun Mohd Taufik terpaksa bersaing dengan penjual madu lebah tiruan yang menjual dengan harga murah RM30 hingga RM40 sekilogram.
Madu tiruan ini, menurut seorang pembeli yang sudah biasa dengan madu lebah asli, ialah campuran buah kurma dan gula merah yang dimasak.
Katanya, madu lebah asli tidak akan dihurung semut botolnya walaupun manis, tetapi semut akan menghurungi penutup botol madu lebah tiruan.
- BERNAMA