Chevrolet Cruze Kini Di Malaysia


Sejak 2001, generasi pertama Chevrolet Cruze menambat pasaran automotif dunia bermula dengan konsep sub-kompak SUV yang dikeluarkan Suzuki Jepun menerusi usahasama dengan General Motors (GM).

Generasi kedua dilahirkan tujuh tahun kemudian, ditambah aplikasi sebagai sedan kompak yang dibangunkan secara global.

Kejayaannya di Eropah, Australia, India dan benua Asia lantas membawa Chevrolet Cruze ke Malaysia bulan lalu.

Dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Cruze kelihatan gah bergaya dalam pilihan warna Moroccan Blue, Super Red dan Olympic White.

Bukan sahaja dilengkapi reka bentuk aerodinamik terkini malahan prestasi Cruze yang dimuatkan enjin 1.8 liter (1,796cc) itu turut memberikan pengalaman pemanduan optimum dengan dipacu penjana kuasa empat silinder menampilkan Double Continuous Variable Cam Phasing (DCVCP) dan pemanduan Variable Intake System (VIS).

Di samping itu kuasa enjin disalurkan menerusi tayar hadapan menggunakan transmisi automatik enam kelajuan terbaru, fungsi shiftronik dan ciri-ciri keselamatan bertaraf lima bintang mengikut spesifikasi Program Penilaian Kenderaan Baru Eropah dan Australia (Euro-NCAP dan ANCAP).

Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Syarikat Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin berkata, hasil usahasama pihaknya menerusi Pavilion Crest Sdn Bhd (PCSB) dengan General Motors Asia Tenggara itu dijangka akan mempelbagaikan lagi pengeluaran produk Chevrolet di negara ini.

“Kami akan bekerjasama erat dengan Chevrolet untuk membawakan versi terbaik jenama tersebut khas untuk rakyat Malaysia. Usahasama berkenaan bakal meningkatkan kemampuan program pemasangan kenderaan dan tentu sekali mencari ruang kolaborasi untuk memenuhi permintaan,” katanya.

Cruze terkenal dengan ciri-ciri penyerapan bunyi. Rahsianya adalah sistem ‘mounting’ empat penjuru yang mengasingkan enjin dari chassis dan menghalang kemasukan bunyi mekanikal serta bunyi bising hasil operasi enjin. Pelindung gentian kaca dibentuk pada bahagian dalam hud sebagai penghalang bunyi ke kabin.

Manakala bumbung di ruang dalam Cruze mempunyai rekaan akustik gentian thermal dan lima lapisan penyerapan bunyi tercanggih.

Menambahkan lagi ketenangan penumpang adalah karpet tebal yang direka khas untuk mengasingkan bunyi luar dan getaran sepanjang pemanduan.

Menurut Presiden General Motors Operasi Asia Tenggara, Martin Apfel, The Cruze merupakan interpretasi dramatik daripada sedan tradisional.

Teknologi kuasa dan pemanduan optimum Cruze diperincikan lagi dengan reka bentuk terkini seperti Body Frame Integral (BFI) yang lebih kukuh agar pemandu menikmati perbandingan unggul, kestabilan dan respon dinamik Cruze baru.

Ini dipertingkatkan lagi dengan suspensi sangga depan dan komponen khas yang lazimnya dimuatkan pada kenderaan berprestasi tinggi.

“Kadar penyerapan telah diubah suai untuk meningkatkan kawalan pada masa sama memastikan ketidak serataan permukaan jalan diasingkan dari kabin dalaman sebanyak yang mungkin.

“Ini turut dipadankan bersama sistem kemudian ditala untuk meningkatkan lagi respon pemanduan,” jelas beliau.

Sebagai langkah keselamatan, Cruze menggunakan Sistem Peningkatan Kestabilan Kenderaan yang menggunakan kemampuan kawalan cengkaman dan brek elektronik.

Sebagai kereta global, Cruze mendapat manfaat daripada proses kualiti komprehensif dan rekaan Global Delta.

Setiap aspek kenderaan ini diteliti halus bagi mencapai standard dunia. Pembangunan dan rekaan dinamik terkini Cruze merupakan hasil kolaborasi pakar dari Jerman, Korea, Amerika Utara dan Australia.

Chevrolet Cruze 1.8L (Auto) ditawarkan kepada individu pada RM97,888 termasuk duti import, cukai jualan dan aksesori.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url