Kencing tikus, rakyat dinasihatkan tak panik

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai menasihati orang ramai agar jangan panik mengenai kematian enam orang akibat jangkitan kuman air kencing tikus di Lubuk Yu, Maran, Pahang bulan lepas kerana keadaan adalah terkawal.

Beliau berkata tidak ada kes baru dilaporkan.

"Pada hakikatnya penyakit itu biasa berlaku di negara tropika seperti Malaysia dan ia bukan penyakit misteri yang dikhuatiri orang ramai. Tolong jangan takut-takutkan orang ramai. Ini bukan penyakit misteri, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Hospital Swasta Malaysia (APHM) di Kuala Lumpur hari ini.

Enam orang penduduk kampung yang terbabit mencari dan menyelamat mangsa lemas di hutan rekreasi Lubuk Yu yang bermula 26 Jun hingga 30 Jun meninggal dunia akibat jangkitan bakteria leptospirosis (air kencing tikus) dan melioidosis.

Liow berkata tujuh yang lain yang kini menjalani rawatan di beberapa hospital, dilaporkan sedang pulih, sambil menambah bahawa kawasan itu akan dibuka semula setelah kerja-kerja pembersihan dilakukan.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url