Terapi rawat masalah keseimbangan


Seorang daripada 10 penduduk dunia secara amnya dikenal pasti mengalami masalah ketidakseimbangan badan sehingga menjejaskan kualiti hidup dan kadang kala mengundang kecelakaan.

Di Malaysia, sejumlah 1.9 juta penduduk dianggarkan mengalami masalah yang sama dan sehingga kini masih tiada rawatan khusus bagi membantu mereka.

Namun kini, pesakit dari seluruh dunia kini berpeluang untuk mendapatkan modul rawatan yang bukan sahaja berkesan, malah yang pertama seumpamanya di dunia.

Ia dihasilkan menerusi penyelidikan sekumpulan penyelidik di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Penyelidikan tersebut dikenali sebagai Bal Ex: Home-Based Video Module for Balance Exercise, dihasilkan dalam bentuk modul video oleh pensyarah Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM, Dr. Zuraida Zainun dan pasukan penyelidiknya terbukti bukan sahaja mampu mengatasi masalah ketidakseimbangan badan.

Masalah tersebut juga sering kali dirujuk sebagai 'kepeningan' membolehkan pesakit menjalani rawatan sendiri di rumah tanpa perlu ke hospital.

Ini sekali gus dapat memudahkan pesakit dan mengurangkan kos rawatan bagi membantu mereka yang berada di dalam kelompok masyarakat bawahan.

Dalam penyelidikan tersebut, Dr. Zuraida turut dibantu oleh Pakar Telinga, Hidung dan Tekak Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Prof. Dinsuhaimi Sidek.

Turut terlibat ialah Pakar Pendengaran, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Dr. Mohd Normani Zakaria dan Mohd Darimi Yusoff serta Zamri Husain.

Menurut Dr. Zuraida, modul rawatan tersebut terdiri daripada 20 pergerakan dalam tiga peringkat yang telah dirangka khusus bagi membolehkan setiap organ keseimbangan berfungsi dan bertindak balas dengan otak dan sistem saraf tunjang manusia.

"Ia cukup mudah digunakan dan dengan bantuan sistem audio yang jelas, sistem ini turut memungkinkan ramai dari kalangan kita yang cacat penglihatan untuk turut mendapatkan rawatan.

'Model ini Ia juga memberikan kesan dan tindakbalas yang cukup pantas iaitu kurang daripada tiga bulan dan mampu membolehkan kehidupan seseorang pesakit kembali normal,'' ujarnya.

Beliau berkata, sehingga kini sejumlah 42 orang pesakit sedang mengikuti modul rawatan berkenaan sejak Ogos 2008.

Menurutnya, pesakit mengalami serangan ketidakseimbangan yang semakin berkurangan, pemulihan yang ketara dari masalah ketidakseimbangan dan semakin ramai pesakit yang merasakan kualiti hidup mereka semakin baik berbanding dahulu.

Menurut beliau, dalam satu kajian kes yang dijalankan, salah seorang pesakit yang berusia sekitar 40-an dan berkhidmat sebagai guru mengalami masalah ketidakseimbangan yang kronik sehingga menyebabkan beliau tidak dapat menjalankan tugas dengan baik.

"Beliau bukan sahaja tidak dapat berdiri lama, malah juga tidak lagi boleh memandu dan mengalami fobia untuk berada di tempat yang sesak berikutan masalah ketidakseimbangan ini. Namun begitu, beliau pulih setelah hanya dua bulan menjalani terapi berkenaan,' kata beliau lagi.

Produk tersebut dijangka berada di pasaran dengan harga kurang daripada RM50 menerusi inisiatif pemasaran Sanggar Sains Sdn. Bhd, anak syarikat USM.

Untuk maklumat lanjut, mereka yang berminat juga boleh menghubungi Dr. Zuraida Zainun menerusi e-mel: drzuraida@yahoo.com selain melayari laman web: http://bal-exercise.blogspot.com.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url