i-Pad tenggelamkan e-reader


Enam bulan lalu, Zhang Li mula menjual e-reader di Beijing, China dengan harapan ia mampu memberi pulangan lumayan apabila dia percaya segmen tersebut akan meledak di pasaran.

Bagaimanapun kini, dia tidak begitu pasti telah membuat keputusan bijak dalam memilih segmen e-reader.

Populariti komputer-komputer tablet serba guna termasuk Apple iPad dan harga yang agak tinggi ditawarkan e-reader telah menyekat sektor berkenaan daripada terus berkembang, kata pakar.

"Jualan e-reader memang tidak dapat menandingi telefon pintar dan komputer tablet," kata Zhang kepada AFP di sebuah pasar raya elektronik tempat dia menjalankan perniagaan.

Dengan nada kecewa dan cemburu jurujual wanita itu menerangkan, dia hanya mampu menjual e-reader kira-kira 10 unit sebulan, sedangkan pesaing di sebelah gerainya telah menghantar tiga atau empat iPads kepada pelanggan dalam sehari sejak ia dilancarkan di Amerika Syarikat (AS) pada April lalu.

"Pasaran besar-besaran untuk segmen e-reader tidak dapat diperluaskan di China," kata Simon Ye, seorang penganalisis firma penyelidikan AS, Gartner yang berpangkalan di Shanghai.

"Terdapat terlalu banyak produk dengan prestasi lebih baik berbanding e-reader."

Apple telah mengumumkan versi paling murah model iPad, berkapasiti 16 gigabait (GB) akan menelan belanja AS$590 (RM1,824) di China. Model 32GB pula dijual pada harga AS$714 (RM2,207) dan versi 64GB adalah AS$833 (RM2,575).

Kebanyakan e-reader menelan kos antara AS$149(RM460) hingga AS$596 (RM1,842).

Menurut vendor tradisional dan dalam talian, bagi pengguna-pengguna yang mementingkan kos mereka mencari produk mempunyai pelbagai fungsi untuk wang mereka.

"Saya tidak memiliki e-reader. Ia terlalu mahal," kata seorang eksekutif perdagangan antarabangsa, Jason Yang, 40.

Katanya, seseorang mungkin membeli e-reader jika harganya di bawah AS$74 (RM228).

"Ini kerana produk lain lebih menyeronokkan dan berguna," katanya.

Menurut laporan media, China membangunkan gajet e-reader menggunakan e-ink iaitu satu teknologi paparan penghasilan keadaan seakan-akan dakwat pada kertas dengan biasan cahaya ambien.


Fenomena sementara

Jualan e-reader hanya sedikit sahaja sehingga gergasi peruncitan Internet AS, Amazon dilihat lebih berjaya dengan pengenalan peranti Kindle pada tahun 2007.

Meskipun, komputer tablet memberi persaingan, jualan e-reader di China masih diharapkan akan meningkat apabila sekitar 700,000 buah sudah pun dijual di negara berkenaan pada tahun lalu.

Syarikat pakar perundingan China, Zero2IPO meramalkan 1.2 juta unit akan dijual pada tahun ini.

Situasi jualan e-reader yang masih positif menyebabkan jenama antarabangsa termasuk Sony Reader dari Jepun turut melahirkan minat untuk menjual peranti mereka di China yang mempunyai populasi mencecah 1.3 bilion penduduk.

Bahkan, vendor-vendor telah membelanjakan berjuta ringgit dalam pengiklanan. Pembikin e-reader terbesar China, Hanvon turut memasarkan produk mereka ke angkasa lepas melalui misi Shenzhou-7 pada tahun 2008.

Begitupun, ia masih tidak mampu menyakinkan pembeli skeptis.

"Saya tidak memerlukan peranti berkenaan. Memadai saya menggunakan komputer saya," kata pekerja loji kuasa David Wu, 25, yang memiliki iPhone.

"Ibu bapa saya ada membeli peranti tersebut ketika ia mula berada di pasaran kerana sifat ingin tahu. Mereka hanya menggunakannya seketika dan tidak lagi kini," katanya lagi.

Penganalisis berkata, pembeli China masih ragu-ragu untuk melabur dalam e-reader kerana buku tradisional masih dijual pada harga murah dan mereka tidak yakin dengan teknologi tinggi dalam pembacaan serius.

Kekurangan isi kandungan turut menyumbang kepada potensi pertumbuhan pasaran segmen berkenaan.

Seperti keluhan penerbit-penerbit terhadap cetak rompak dan tidak berpuas hati dengan pembahagian keuntungan oleh pembangun peranti itu.

Ada juga di antara pembekal kandungan mengambil langkah membangunkan jenama e-reader mereka sendiri, manakala pembikin peranti membangunkan kedai buku dalam talian mereka.

Hanvon yang juga dikenali sebagai Hanwang menawar 200,000 tajuk digital melalui platform dalam talian mereka menjelang akhir tahun ini selepas bersetuju memberi 80 peratus hasil muat turun kepada pembekal kandungan.

Menurut laporan media, Pengerusi Hanvon, Liu Yingjian berkata, fungsi komunikasi akan ditambah pada e-reader keluaran syarikatnya sebagai langkah meningkatkan ciri-ciri peranti berkenaan.

Penganalisis Zero2IPO yang berpangkalan di Beijing, Zhang Yanan, berpendapat, e-reader wajar didatangkan dengan lebih banyak ciri-ciri terkini pada masa hadapan.

"Pasaran baru mungkin akan muncul dengan penggabungan e-reader, komputer tablet dan produk lain pada masa depan," katanya.

- AFP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url