Pengurangan Caj Pentadbiran PTPTN Akan Dinikmati Semua Peminjam Jun 2011

Kira-kira 800,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mempunyai baki bagi pinjaman selepas 1 Jun 2008 dan masih membayar caj pentadbiran tiga peratus akan ditawarkan pembiayaan pendidikan berlandaskan syariah berkonsepkan Ujrah satu peratus.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tawaran itu tidak termasuk peminjam yang tamat tempoh jadual bayaran balik sebelum 1 Jun 2008, dan peminjam yang dikenakan tindakan saman.

Beliau membuat penjelasan itu selepas beberapa peminjam PTPTN dilaporkan merungut apabila ada antara mereka yang masih menanggung kos pentadbiran tiga peratus walaupun kerajaan mengumumkan penurunan kos itu kepada satu peratus, kira-kira dua tahun lepas.

"Seramai 300,000 pelajar yang mempunyai lebih dari satu pinjaman pula akan ditawarkan dengan pembiayaan ini secara berperingkat," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan Pelepasan Pelajar Kelas Pertama Peminjam PTPTN dan Majlis Bersama Media di sini, pada Khamis.

Katanya walaupun pengurangan caj itu diumumkan pada 2008, namun masih ada yang membayar caj tiga peratus akibat kekangan sistem sedia ada yang memerlukan penambahbaikan serta semakan terperinci setiap akaun yang perlu dibuat bagi mengelak kesilapan.

Khaled berkata pengurusan data yang membabitkan hampir 1.4 juta pinjaman yang layak menikmati pengurangan caj tersebut sebelum ini tertangguh selama hampir dua tahun, dan beliau menjangka semua urusan itu akan diselesai pada pertengahan tahun depan.

Beliau menjelaskan bahawa dua proses utama akan dijalankan; iaitu proses input maklumat oleh peminjam secara online melalui laman web PTPTN bermula 30 September 2010; dan proses penawaran.

"Proses penawaran akan dilaksanakan oleh PTPTN pada 10 hari bulan setiap bulan secara berperingkat mengikut fasa bagi semua peminjam yang diluluskan pinjaman bermula tahun 2006 hingga 2008," katanya.

Sementara itu, katanya seramai 2,162 orang penerima pembiayaan PTPTN di semua Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang mendapat Ijazah Kelas Pertama dari Januari hingga Julai 2010 ditukar menjadi biasiswa dengan anggaran pembiayaan berjumlah RM59.70 juta.

"Jumlah itu dijangka akan bertambah sehingga penghujung tahun ini kerana ada di kalangan pelajar yang akan menamatkan pengajian mereka pada bulan Oktober ini," katanya.

Mengenai isu peminjam tegar yang dilarang ke luar negara pula, Khaled menyeru mereka agar berunding dengan pihak PTPTN dalam tempoh tujuh hari bekerja sebelum hari penerbangan mereka ke luar negara.

"Ini hanyalah untuk kes luar jangkaan seperti kematian, urusan perniagaan atau apa-apa urusan yang tidak boleh dielakkan," katanya dan menambah PTPT Nmemerlukan masa seminggu untuk menguruskan isu kebenaran ke luar negara kerana ia melibatkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Imigresen.

Peminjam tegar merujuk kepada peminjam yang mengabaikan setiap usaha PTPT Nsejak lebih lima tahun lepas meminta mereka membayar pinjamannya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url