Helikopter terlaju di dunia


HELIKOPTER adalah kenderaan udara yang paling hebat ciptaannya kerana kemampuannya bergerak dengan mudah tanpa memerlukan landasan khas.

Ia mampu mendarat dan berlepas daripada apa sahaja permukaan sama ada di atas bangunan, kapal, bukit dan sebagainya, selain boleh berada tetap di udara.

Atas fleksibeliti itulah, kita dapat melihat lebih banyak helikopter di udara berbanding daripada pesawat persendirian dalam menjalankan pelbagai tugasan seperti memantau trafik, membawa eksekutif, membawa barangan, pertahanan udara dan sebagainya.

Bagaimanapun, kelemahan helikopter sudah tentu pada kelajuannya kerana ia tidak mampu menandingi kapal terbang bersayap kerana reka bentuknya lebih difokuskan kepada untuk terbang menegak dan bukannya meluncur laju.

Purata kelajuan sesebuah helikopter biasa adalah kira-kira 160 hingga 230 kilometer sejam (km/j), yang mana ia bergantung kepada sistem enjin dan rotornya.

Secara rasminya, helikopter paling pantas di dunia setakat ini adalah Westland ZB500 Lynx yang telah mampu kelajuan 401 km/j.

Bagaimanapun, salah satu syarikat yang terawal dalam penciptaan helikopter, Sikorsky Aircraft Corporation baru-baru ini telah mencatatkan lagi lagi sejarah dalam dunia penerbangan apabila memecah rekod kelajuan helikopter terlaju di dunia.

Syarikat itu melalui pengasasnya, Igor Sikorsky sebelum ini telah menjadi syarikat pertama di dunia memperkenalkan helikopter untuk pasaran besar-besaran dengan pembinaan 131 helikopter pada 1942.

Kini, syarikat yang juga pembina pesawat Blackhawk itu kembali berusaha mencatat sejarah dalam dunia penerbangan.

Baru-baru ini, helikopter X2 Technology Sikorsky telah berjaya mencapai kelajuan 250 knot (463 km/j), satu rekod baru dalam kelajuan helikopter.

Rekod tidak rasmi itu dicatatkan melalui penerbangan helikopter demonstrasi X2 Tecnology itu pada 15 September lepas.

Dalam penerbangan selama 1.1 jam itu, X2 Technology telah berjaya menewaskan kelajuan Westland ZB500 Lynx yang dicatatkan pada 1986.

Sebelum mencatatkan sejarah kira-kira dua minggu lepas, pada awal tahun ini, pesawat demonstrasi X2 itu telah berjaya mencapai kelajuan 181 knot (335 km/j) dalam penerbangan ujiannya.

Ia merupakan kelajuan yang sudah melebihi kemampuan mana-mana helikopter konvesional di pasaran yang hanya mampu terbang sekitar 160-170 knot.

Untuk rekod terbaru, pesawat X2 Technology yang telah memulakan programnya sejak 2005 itu telah mencapai kelajuan maksimum 250 knotnya dalam penerbangan yang diadakan di Pusat Pembangunan Penerbangan Sikorsky, Florida, Amerika Syarikat.

Dalam penerbangan itu, X2 juga telah berjaya mencapai kelajuan 260 knot (481 km/j) ketika melakukan penerbangan menjunam secara perlahan.

"Industri aeroangkasa kini telah memasuki horizon baru," kata Presiden Sikorsky, Jeffrey P. Pino.

Beliau berkata, pesawat demonstrasi X2 Technology terus membuktikan kemampuannya sebagai ejen perubahan dan Sikorsky Aircraft berbangga kerana terus berada di hadapan dengan teknologi inovatifnya dan meneruskan kehebatan syarikat sebagai pengasas industri.

Pesawat X2 dibina menggunakan pelbagai teknologi bersepadu yang bertujuan meningkatkan kemampuan pusingan coaxial rotor dan juga kestabilan helikopter walaupun digunakan dalam pelbagai keadaan.

Antara teknologi yang digunakan ialah kawalan penerbangan 'fly-by-wire', kipas rotor terkini, penggurangan rasa seretan, kawalan gegaran aktif dan sistem bantuan pendorong.

Helikopter itu boleh bergerak dengan kelajuan 250 knot tanpa masalah dan pada masa yang sama mengekalkan ciri-ciri seperti mudah dikendalikan seperti pada kelajuan rendah, berada tetap di udara serta penukaran kelajuan rendah dan tinggi yang mudah dan lancar.

Dalam penerbangan yang mencatat rekod itu, pesawat itu dikendalikan oleh Kevin Bredenbeck yang juga Pengarah Operasi Penerbangan dan Ketua Juruterbang untuk syarikat itu dan program X2 Technology.

Bredenbeck berkata, pesawat demonstrasi itu menunjukkan prestasi yang baik ketika dikendalikan dan memenuhi prestasi yanng diharapkan serta sentiasa meningkat prestasinya setiap kali dilakuakn penerbangan ujian.

"Parameter penunjuk prestasi utama kami telah dicapai," kata Pengurus Program untuk Program Termaju Sikorsky, Jim Kagdis.

"Kelajuan 25 knot merupakan sasaran yag ditetapkan sejak pesawat demonstrasi ini dibangunkan. Adalah satu kebanggaan untuk mengetahui yang pelanggan kami akan mendapat kemampuan teknologi ini," katanya.

Sememangnya, pembangunan dalam teknologi helikopter terus berkembang dan kita berharap ia juga akan menjadi satu kenderaan yang boleh diperkenalkan untuk kegunaan orang biasa bagi mengurangkan masalah kesesakan jalan raya di masa depan.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url