FluCard bersaiz setem bakal gantikan pemacu pena (pen drive)?
Memaksa penggunaan disket menempah tiket ke era kejatuhannya, Henn Tan berjaya memandu jentera perniagaannya untuk memastikan penggunaan pemacu data USB (Universal Serial Bus) berkembang seiring globalisasi.
Bagaimanapun, cengkaman legasinya dalam dunia penghasilan pemacu data semakin ampuh tatkala pelbagai jenama alatan kompak itu terpacul di pasaran.
Kini, usahawan dari Singapura itu memasang harapan untuk membuktikan dia adalah peneraju terulung dalam penciptaan alatan kecil yang mampu menyimpan data dalam kuantiti mega itu.
Tan yang menggenggam paten pemacu simpanan data kompak itu telah tersebar ke 30 pasaran tempatan dan label antarabangsa kini tampil dengan inovasi terbaru bersama nama yang lebih unik.
FluCard iaitu alat penyimpan data bersaiz setem berupaya memindahkan data tanpa wayar.
Fenomena yang diigilai
Tan yang menganggap ia adalah satu kelahiran baru turut memasang cita-cita untuk melihatnya menjadi satu fenomena dan digilai berjuta-juta pengguna seperti pemacu USB.
Tan juga mengakui ramai pengguna teknologi telah menjadikan pemacu pena (thumbdrive) sebagai satu permintaan pasaran semasa yang hangat.
“Namun, jujur saya katakan dakwaan mereka itu adalah salah. Walaupun mereka tetap tidak mempercayai kata-kata saya.
“Kita bukan sekadar bergelumang dengan era pemacu pena sebaliknya kuasa FluCard akan mengatasi segala-galanya,” tegas Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif (CEO) Syarikat Antarabangsa Trek 2000 yang kini turut tersenarai dalam bursa saham Singapura.
Tan juga kesal dengan kesilapannya membiarkan pemacu pena bertahan sendirian tanpa berkongsi dengan syarikat megalopolis pada tahun 2000. Beliau mengakui kenaifannya mengabaikan pesaingnya memanipulasi keupayaan alat simpanan datanya itu.
Namun, kali ini beliau bergabung dengan syarikat terkenal Jepun, Toshiba Corp. untuk mempromosi FluCard dan memastikan patennya dilindungi sepenuhnya.
Ditebak dengan persoalan mengenai pemilihan nama alatan canggih ciptaan terbarunya, Tan seraya memaklumkan ia sesuai dengan sifatnya yang sangat mudah berjangkit malah senang untuk disebut-sebut.
Usahawan yang menggaji pakar teknikal untuk merealisasikan buah fikirannya turut mengaitkan FluCard dengan senario global.
“Kalau anda ke Afghanistan sekali pun dan menyebut perkataan flu, pasti mereka akan memahaminya,” ujarnya yang baru bergelar usahawan itu.
Pengurus bahagian Penasihat Teknologi Frost dan Sullivan, Marc Einstein menambah, FluCard adalah satu tanda bahawa proses penumpuan pengguna elektronik dan teknologi komputer giat berlaku.
“Saya yakin masa depan teknologi dan alatan pengguna bermula dari sini,” luahnya yang turut optimis dengan jaminan keselamatan syarikat Toshiba.
Syarikat Tan dan Toshiba kini diiktiraf pemegang saham kedua terbesar menerusi Syarikat Antarabangsa Trek 2000 yang kini telah berjaya membentuk satu konsortium pengusaha kamera dan memberikan FluCard sebagai satu standard.
Pengarah Kajian bersama di syarikat pembrokeran Singapura, DMG dan rakan kongsi, Terence Wong melihat satu prospek komersial yang baik untuk pasaran FluCard dan penggabungan Tan dengan Toshiba adalah pergerakan yang positif.
“FluCard ini berkemungkinan akan menggantikan penggunaan kad SD (Secure Digital) jika ia dibangunkan secara berhemat,” kata Wong.
Direka seakan-akan kad memori SD yang digunakan dalam kebanyakan kamera digital, FluCard turut dilengkapi dengan perincian pemindahan data secara WiFi ke atas alatan lain. Ia juga mempunyai kebolehan yang sama seperti telefon bimbit dan komputer riba.
“Saya boleh menghasilkan alatan yang lebih baik daripada keupayaan kad SD yang hanya mampu menyimpan data sahaja. Selagi alatan anda dilengkapi dengan WiFi, anda boleh memuat turun apa sahaja daripada FluCard,” tambah Tan.
Sesuai untuk semua
Dilancarkan pada awal tahun ini, FluCard berfungsi dalam semua alatan termasuk kamera digital yang menyediakan slot SD.
Menurut kajian pasaran semasa, kad SD yang kebiasaannya digunakan dalam kamera digital kompak telah terjual sebanyak 100 juta unit pada tahun 2009.
Menerusi penggunaan FluCard dalam kamera digital, pengguna mempunyai pilihan untuk memuat naik gambar baru secara terus dalam talian Internet untuk berkongsi detik-detik manis bersama rakan-rakan yang menggunakan perisian Facebook atau jaringan sosial lain sebagai perantaraan.
Ia juga bertindak sebagai fail sokongan data berikutan isi kandungan di dalamnya akan dipindahkan ke dalam akaun persendirian di portal yang telah didirikan oleh Syarikat Antarabangsa Trek 2000.
Idea untuk mencipta FluCard oleh Tan tercetus selepas musibah kehilangan kamera digitalnya apabila pulang daripada bercuti bersama keluarganya di China lima tahun lalu.
“Kita tidak boleh kembali semula ke tempat itu semata-mata untuk mengambil gambar. Dalam masa yang sama, kita akan merasa sangat jelek apabila tiadanya fail-fail sokongan untuk data yang telah hilang,” getus Tan.
Tan menambah, kuasa FluCard akan menjadi lebih besar jika ia dibangunkan dengan betul.
“Ia juga akan melonjakkan syarikat saya daripada sebuah syarikat terpinggir kepada liga utama dalam industri penyimpanan data,” katanya.
– AFP