Harga produk, perkhidmatan pengaruhi pendapatan rakyat
Hakikat rakyat berpendapatan tinggi adalah hal yang baik. Semua ingin pendapatan tinggi demi keselesaan hidup.
Bagaimanapun, mempunyai pendapatan tinggi bukanlah senang dari segi hakikat dan pengumpulannya. Pendapatan tinggi juga harus diukur pada kuasa beli. Jika pendapatan tinggi diatasi oleh kos hidup dalam erti kata rata-rata barang keperluan harian seperti makan minum, pakaian dan tempat berteduh, pengangkutan dan perubatan menjadi mahal, maka kenaikan pendapatan tidak begitu bererti.
Ini antara keperluan asas dalam kehidupan. Sebaliknya barang mewah, seperti rumah dan kereta mewah, jam tangan dan sebagainya, boleh dielak atau ditangguhkan.
Tiga negara berpendapatan tinggi menurut perkapita pendapatan kasar domestik atau dalam negara (GDP) ialah Singapura, Norway dan Amerika Syarikat (AS). Perkapita masing-masing AS$40,000 setahun atau RM125,000 setahun.
Di antara tiga negara itu, Singapura dan AS boleh berpuas hati kerana rata-rata harga produknya tidak meningkat sehingga menggugat peningkatan pendapatan rakyatnya, berbanding apa yang dialami rakyat Norway. Negara Scandinavia ini, terutama ibu kotanya, Oslo, adalah tempat termahal di dunia.
Rakyatnya hanya menikmati kelebihan pendapatan apabila mengembara di luar negara. Disebabkan dasar cukai pendapatan negara, pada umumnya rakyat hanya menikmati setengah Krone bagi setiap 1 Krone yang didapati ( 1 Krone ialah 60 sen). Setengah Krone lagi untuk cukai pendapatan.
Keadaan ini berlaku kerana rakyat Norway yang berpendapatan tinggi diharuskan menyumbang kepada tabungan pencen warga tua. Ini bererti pencen dinikmati pesara adalah tinggi, tidak jauh beza dengan gaji diperoleh sebelum mereka bersara.
Sejak 1970-an, Norway mendapat durian runtuh hasil minyak Laut Utara (North Sea) di utara Lautan Atlantik.
Dengan hemah kepemimpinan negara yang prihatin, Kabinet dan Parlimen – dengan restu Rajanya– membuat keputusan tegas mengagihkan kekayaan negara itu secara adil sehingga boleh dikecapi mereka di strata paling rendah. Keputusan itu dijadikan peruntukan Perlembagaan yang ti-dak boleh diganggu-gugat sebarang pertukaran kerajaan.
Singapura bukanlah kota murah, tetapi pendapatan rakyatnya membawa pulangan nilai kerana kos hidupnya tidak mengatasi peningkatan pendapatan.
Negara paling bermanafaat ialah AS. Walaupun tidak pada keseluruhan, dalam banyak hal berkaitan makanan, perumahan, kenderaan dan tenaga elektrik, ia lebih murah berbanding Indonesia, Singapura, Thailand, Malaysia dan Filipina.
Negara kuasa besar itu, walaupun dibenci kerana dasar intervensinya di Iraq, Iran, Venezuela, dan beberapa negara di Afrika, Eropah Timur, Caribbean, Asia dan Arab, dasar dan amalan domestiknya adalah baik secara relatif.
AS dinyatakan sebagai perbandingan. Satu dolar AS boleh membeli lebih banyak produk daripada seringgit di Malaysia. Jika minyak berharga RM10 segelen di Malaysia, di AS segelen kurang 3 dolar.
Disebabkan rakyatnya berpendapatan tinggi, sedangkan kos rendah secara relatif, maka wang kocek yang berbaki boleh dibelanjakan kepada produk yang lebih luas. Justeru, banjaran perniagaan produk (perkhidmatan juga) lebih luas kerana peniaga terpengaruh dengan permintaan pembeli.
Lihat saja produk AS di pasar raya dan restoran makanan segera yang bercambah di Malaysia seperti McDonald, KFC dan Starbuck. Semuanya adalah unjuran pasaran domestik di AS sendiri. Jika pasaran domestik di sana tidak mampu menampung produk itu, tidak mungkin ia boleh berkembang ke seluruh dunia.
Memperkatakan pendapatan tinggi tidak menjadi genap jika tidak diperkatakan nilai mata wang. Sepatutnya pendapatan perkapita Malaysia yang diukur menurut nilai dolar AS adalah lebih tinggi daripada apa yang ditahapkan. Meskipun bunyinya mudah, nilai mata wang dunia yang diukur dengan harga Big Mac dan hamburger McDonald, seperti dipromosikan majalah mingguan Economist terbitan London, adalah sangat relevan.
Apa yang berlaku sejak 10 tahun dulu, taraan mata wang dunia yang pelbagai nilainya berbanding nilai dolar AS akhirnya bergerak ke arah nilai perbezaan harga burger itu dalam nilai dolar AS. Big Mac di Malaysia berharga RM6.70 sedangkan di AS harganya US$3.75. Harganya di AS itu sama dengan RM12 di Malaysia kini, pada kadar RM3.10 untuk AS$1.
Berdasarkan harga Big Mac itu, nilai ringgit sepatutnya lebih kurang RM1.08 dan bukan RM3.10 untuk AS$1. Oleh itu jika pendapatan perkapita kita RM40,000.00 setahun, ia bererti AS$22,200.00. Justeru untuk diklasifikasikan sebagai rakyat berpendapatan tinggi dengan perkapita AS$30,000.00 setahun bukanlah jangkauan jauh.
Yang penting ialah kenaikan pendapatan tidak diatasi kos produk dan perkhidmatan selain dibaham cukai pendapatan, demi menguat permintaan bagi melebarkan perniagaan produk dan perkhidmatan yang terus meluas.
- BERITA HARIAN