Kadar penembusan jalur lebar melebihi sasaran 50 peratus
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bangga dengan kejayaan itu bagaimanapun menegaskan, ia bukan jaminan kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, pertumbuhan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat hanya akan dicapai melalui peningkatan kadar penembusan jalur lebar jika semua pihak melaksanakan aplikasi sebenar daripada kemajuan teknologi itu.
"Sudah tentu saya bangga dengan kejayaan ini, ia melepasi sasaran kami, kerana ketika sasaran 50 peratus ditetapkan oleh kerajaan pada Julai 2007, kadar penembusan jalur lebar pada ketika itu hanyalah pada 12.8 peratus.
"Namun, kemajuan ini perlu disusuli dengan pendekatan baru dalam penyediaan aplikasi mahupun perkhidmatan yang perlu diterokai serta dirintis di seluruh sektor ekonomi," katanya.
Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN ke-10, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), mahu meletakkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai asas untuk negara mencapai ekonomi berpendapatan tinggi.
Katanya, langkah kerajaan itu jelas kerana telekomunikasi dan ICT terbukti sejak sedekad lalu merupakan pemangkin kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara dan landasan itu perlu dipertingkatkan.
"Kemajuan besar di dalam rancangan itu akan menyaksikan ICT mengembang, kerana ia mencakupi keseluruhan ekonomi dan kehidupan rakyat Malaysia dan ICT juga dikenal pasti sebagai salah satu tonggak ekonomi ASEAN," katanya.
- UTUSAN