Kuasa kamera hibrid


Model terbaru Olympus E-PL2 (kanan) yang dilancarkan minggu lalu.

Terpengaruh dengan 'trend' kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR) yang semakin menjadi-jadi, seorang rakan saya baru-baru ini mengakui membuat kesilapan selepas membeli DSLR yang berharga kira-kira RM3,500.

Selepas beberapa bulan memiliki kamera semi profesional itu tanpa banyak digunakan, dia beralih kepada kamera kompak yang dibeli separuh daripada harga DSLR-nya.

Pada mulanya, dia mahukan kamera yang mampu menghasilkan imej yang berkualiti. Namun selepas rimas mengusung peralatan DSLR yang memenuhi beg galas, dia akur kepada kamera yang lebih mudah untuk dibawa.

"Selain saiznya yang besar saya mula menyedari pengendalian DSLR yang agak rumit," ujarnya.

Hal itu bukan sahaja berlaku kepada rakan saya bahkan kajian antarabangsa baru-baru ini mendedahkan 20 peratus daripada pengguna kamera di dunia tidak meminati DSLR, tetapi tetap tidak mahu berkompromi tentang kualiti gambar.

Bagi pengeluar-pengeluar kamera di dunia pula, 20 peratus itu adalah satu jumlah yang besar, peratusannya sama dengan jumlah pengguna DSLR. Jadi apakah sebenarnya yang dikehendaki oleh 20 peratus 'pengguna baru' kamera di dunia?

Apa yang diperlukan adalah kamera yang lebih kecil dan ringan tetapi mampu menghasilkan gambar dengan kualiti setanding DSLR, pada masa yang sama tampil dengan kelas tersendiri. Di atas permintaan itu lahirlah kamera generasi baru iaitu hibrid.

Panasonic yang muncul di pentas fotografi selepas era filem membuat kejutan apabila menguasai pasaran terbaru itu melalui pengenalan model hibrid pertama iaitu Lumix G1.

Lumix G1 adalah kamera pertama yang menggunakan teknologi rakaman tanpa cermin dengan lensa boleh ganti yang dinamakan sebagai sistem 'Micro Four Thirds'.

Selain Panasonic dengan barisan hibrid G1, G10 dan GF-1, dunia hibrid disertai oleh beberapa lagi jenama seperti Sony dengan model NEX 5, Olympus dengan E-PL2 dan Samsung dengan NX10. Tiga jenama yang mendahului ketika ini.

Persoalan seterusnya, apakah saingan yang boleh diberikan oleh sebuah hibrid. Ia bukan sekadar kategori pertengahan di antara kompak dan DSLR, tetapi mempunyai masa depan yang lebih cerah.

Dibina lebih kecil dan ringan daripada DSLR, hibrid dilengkapi pengesan imej yang sama dengan apa yang digunakan pada DSLR, sekaligus menghasilkan kualiti imej yang setanding.

Dengan kapasiti pemprosesan yang lebih tinggi, kamera hibrid kini dilengkapi dengan ciri-ciri utama yang ada pada kebanyakan DSLR. Bahkan sebahagian daripadanya sudah mengatasi keupayaan DSLR.

Teknologi pemfokusan automatik dan keupayaan ISO tinggi misalnya membolehkan gambar dirakam tanpa gagal walaupun di dalam pencahayaan gelap.

Bukan sahaja pada ciri-ciri pemprosesan, hibrid juga berdiri setanding dengan DSLR dengan teknologi lensa boleh ganti yang memberikan aneka pilihan lensa daripada lensa sudut luas hingga lensa telefoto.

Sokongan untuk kreativiti dipertingkatkan lagi dengan lensa yang mempunyai bukaan cahaya yang besar sehingga f1.7 (pada GF1). Itu belum lagi mengambil kira fungsi art filter yang boleh diaktifkan pada rakaman gambar pegun dan video.

Bahkan dengan kehebatan teknologi video berdefinisi tinggi (HD), hibrid kini mampu membuatkan pengguna DSLR tertunduk diam.

Semestinya hibrid mampu memberikan kepuasan di dalam dunia fotografi masa depan. Cuma mungkin memberikan sedikit kejanggalan bagi mereka yang berpindah dari penggunaan DSLR.

Bagaimanapun, perkara itu bukanlah isu yang besar bagi mereka yang mengutamakan saiz kecil sebuah kamera. Yang pasti hibrid memberikan pengalaman fotografi peribadi yang jauh lebih mudah.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url