Hari tanpa seluar panjang?
Oleh Hafizahril Hamid
Apa perasaannya jika melihat seseorang dalam perjalanan ke bekerja di pejabat lengkap dengan kemeja dan tali leher tetapi tidak memakai seluar?
Pasti pelik, geli dan pelbagai lagi perasaan cuak akan berlegar di fikiran. Paling tidak kita beranggapan mereka ini sudah hilang akal.
Namun untuk makluman, terdapat hari tertentu dalam setahun yang dipanggil Hari Tanpa Seluar, dan di sambut secara normal seolah-olah tidak ada apa-apa kekurangan yang berlaku.
Memang pelik tabiat manusia ini terutama di Barat yang sanggup berbuat demikian atas nama fesyen, prinsip atau semata-mata kerana keseronokan.
Itulah yang berlaku pada Ahad lepas di New York apabila sekumpulan manusia dengan selamba menaiki tren bawah tanah tanpa memakai seluar atau pun skirt.
Alasan mereka adalah hari tersebut merupakan hari tanpa seluar di tren bawah tanah, (The No Pants Subway Ride).
Ratusan penduduk di bandar itu dengan selamba tidak memakai seluar panjang dan skirt semasa menaiki tren bawah tanah walaupun dalam suhu yang sejuk.
Lebih mengejutkan mereka ini cuma memakai seluar dalam dan seluar pendek selain pelbagai jenis baju bagi meraikan ulang tahun ke-10 hari menaiki tren tanpa memakai seluar panjang.
Terdapat seorang lelaki yang memakai baju kot dan bertali leher tetapi cuma berseluar pendek manakala sebahagian wanita hanya memakai seluar dalam pelbagai warna.
Acara ini bermula sejak 2002 apabila kumpulan yang dikenali sebagai Improv Everywhere menggalakkan pengguna tren bawah tanah tidak memakai seluar panjang dan skirt.
Tahun lepas sahaja seramai 1,500 orang menyertai acara ini dan dikatakan lebih 1,000 orang lagi di 50 bandar diseluruh dunia turut serta dalam memeriahkan acara ini.
Selamba
Ada di antara mereka yang lengkap berpakaian kot dan tali leher berdiri di dalam tren dan apabila ditanya kenapa tidak memakai seluar, selamba mereka menjawab terlupa.
Bagi wanitanya pula tidak bermakna jika mereka memakai skirt sudah mencukupi kerana temanya adalah hari tanpa seluar. Maka akan kelihatan wanita yang hanya memakai seluar dalam di tempat awam atas alasan mahu relaks menikmati pemandangan dan lawak jenaka yang berlaku kerana orang terkejut melihat mereka tidak memakai seluar.
Sebenarnya ada dua acara berbeza untuk hari tanpa seluar. Satu lagi acara dianjurkan pada setiap minggu pertama Mei setiap tahun dan semua orang dari pelbagai lapisan masyarakat menyertainya.
Ada antara mereka merupakan ahli perniagaan ternama, pelajar mahupun pemimpin masyarakat yang dihormati akan menyertai acara ini.
Maka akan kelihatanlah orang dewasa mahupun warga emas yang senang hati hanya memakai seluar dalam atau boxer berjalan-jalan di setiap ceruk tanpa rasa malu.
Lebih menarik makin ramai yang menyertai acara ini di seluruh dunia terutama di Eropah dan Australia.
Acara ini yang dikatakan telah wujud sejak tahun 1986 diadakan untuk orang ramai menikmati hari mereka tanpa sebarang prejudis terutama kepada mereka yang tidak memakai seluar.
Alasan mereka hidup adalah sebahagian dari lawak jenaka dan lagi ramai orang yang menyertainya semakin meriahlah acara tersebut.
- MINGGUAN MALAYSIA
mereka ni memang, nama je maju tapi mcm takde tamadun.. hari tanpa pakaian pun ada...