Sasaran wawasan Indonesia maju 2030

Oleh MAZLAN NORDIN

INDONESIA kini menuju cita-cita untuk menjadi satu dari lima kuasa besar ekonomi dunia pada tahun 2030 manakala jumlah penduduknya meningkat hingga kira-kira 285 juta. Ia juga mahu 30 syarikat Indonesia termasuk dalam senarai Fortune 500 Companies.

Demikian antara catatan Visi Indonesia 2030 terbitan Yayasan Forum Indonesia pencapaian matlamat melibatkan peranan bersama para pekerja, birokrat, pengusaha, anggota-anggota kerajaan, perundangan, kehakiman, termasuk para ketua parti-parti politik dan lain-lain organisasi, demikian disebut oleh Chairul Tanjung, pengerusi lembaga pusat yayasan tersebut dalam kata-kata pengantarnya.

Tujuannya ialah untuk melakukan transformasi hingga Indonesia menjadi sebuah negara moden dan maju serta yang boleh memenuhi keperluan rakyatnya. Indonesia kini pada peringkat menengah rendah dan keadaan ini dijangka menetap hingga 2015 manakala Indonesia meningkat pada peringkat menengah atas.

Juga disebut betapa kemakmuran rakyat pada hakikatnya adalah dengan dorongan syarikat-syarikat besar, bukan oleh kerajaan sahaja.

Indonesia juga mesti mengambil kesempatan dari kedudukannya "di tengah-tengah perkembangan ekonomi serantau paling tinggi sekali dalam dunia". yang meliputi Asia Timur, Asia Selatan serta Australia dan New Zealand.

Jumlah penduduk Indonesia dijangka meningkat hingga 285 juta menjelang 2030. Bilangan orang muda di Indonesia kelak lebih ramai dari lain-lain negara maju. Dengan itu ia mempunyai kesempatan untuk menembusi pasaran buruh antarabangsa dan mengisi kekurangan tenaga pekerja di negara-negara maju yang penduduknya meningkat umur.

Pada tahun 2030, majoriti penduduk Indonesia (hampir 70 peratus) akan menduduki kawasan-kawasan perbandaran. Ada kalanya kelak mereka di kawasan tersebut akan kembali ke tempat-tempat asal mereka.

Meningkat

Mengenai pelajaran pula disebut bahawa bilangan yang ke sekolah akan meningkat hingga 73 juta menjelang 2030 dan oleh itu mestilah mendapat pendidikan asas. Kemudahan pelajaran juga ditujukan kepada mereka yang umur tua. Dengan itu tiada nanti yang buta huruf sama ada muda atau tua.

Selanjutnya kelak ialah peranan penting dan persaingan di antara universiti-universiti Indonesia hingga masuk ke peringkat 50 universiti paling utama di seluruh dunia.

Indonesia kelak akan mempunyai penduduk yang sihat, panjang umur dan produktif. Purata umur mereka 74 tahun, demikian dicatat lagi.

Mendapat perhatian ialah keadaan bekalan minyak dan arang batu. Simpanan minyak kini kira-kira 9 bilion tong. Dengan pengeluaran purata 500 juta tong tiap tahun, maka simpanan itu akan habis dalam masa 18 tahun.

Simpanan arang batu pula kira-kira 19.4 bilion tan. Dengan pengeluaran purata 150 tan setahun, simpanan itu akan habis dalam masa 130 tahun.

Visi Indonesia terus menyentuh bekalan air pada tahun 2030. Antara tahun 1990-2005, sejumlah 89 peratus penduduk bandar dan 57 peratus penduduk luar bandar mendapat bekalan air yang bersih melalui paip, bukan perigi besar boleh terus minum air paip.

Ditegaskan dalam laporan ialah Indonesia pada tahun 2030 mesti menjadi salah satu negara yang tertinggi kemantapan undang-undang dan perdagangan. Kerana itu "tindakan menghapuskan korupsi dan reformasi sistem perundangan dan pelaksanaan mesti terus-menerus dilaksanakan".

Yayasan Forum Indonesia menganjurkan analisis pelbagai aspek dalam menuju cita-cita 2030, antaranya: reformasi birokrat pemerintahan, pelaksanaan undang-undang lebih baik, reformasi sistem tanah.

Antara unsur penting dalam pelaksanaan pelbagai urusan ialah kepimpinan yang baik. Negara memerlukan para pemimpin yang punyai visi, cerdas dan jujur dengan komitmen kepada bangsa, bukan memihak kepada parti sendiri atau diri sendiri.

Mendapat perhatian pada masa kini ialah kejayaan China menjadi negara ekonomi yang kedua terbesar di seluruh dunia, iaitu menewaskan Jepun. Apa yang berlaku menjadi pengajaran kepada negara-negara lain.

Walhal pada beberapa dekad lalu kejayaan ekonomi Jepun menjadi contoh kepada lain-lain Asian Tigers: Korea Selatan, Singapura, Malaysia, Taiwan, Thailand dan negeri China juga.

Dalam pada itu bagi Malaysia dewasa ini ialah Lonjakan Realisasi Wawasan 2020 menjadi negara maju.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url