Evolusi teknologi televisyen
Jika industri telekomunikasi memerlukan telefon bimbit sebagai medium utamanya, televisyen pula menjadi peranti paling penting untuk menyokong bidang penyiaran.
Peti televisyen sebenarnya mula dicipta pada sekitar tahun 1900-an dengan fungsinya ketika itu adalah untuk memberi hiburan kepada penonton.
Di peringkat awal pembangunannya, operasi peranti berbentuk segi empat tepat itu dijalankan menerusi gabungan teknologi optik, mekanik dan juga elektronik untuk rakaman serta paparan imej visual.
Tahun demi tahun, peranti elektronik itu telah mengalami proses revolusi yang cukup memberansangkan dengan peranan yang semakin diperluas.
Seakan menjadi pelengkap kepada aktiviti harian manusia, televisyen hari ini bukan sahaja menyajikan program hiburan kepada para penonton malah turut menjadi gerbang maklumat berita dan juga informasi.
Bukan setakat itu, ia juga telah dijadikan sebagai salah satu platform paparan untuk aktiviti seperti akses Internet, permainan video, capaian televisyen dalam talian dan sebagainya.
Pendek kata, televisyen boleh dikategorikan sebagai medium pelaksanaan operasi multimedia yang interaktif dan berteknologi tinggi.
Untuk menyokong kepelbagaian operasi tersebut, pembangunan peranti televisyen secara teknikalnya dilengkapi sokongan teknologi moden dan canggih.
Ini bermaksud, dalam usaha menghasilkan program televisyen yang bermutu, peranti televisyen itu sendiri mestilah tersedia bersama spesifikasi dan perisian terkini.
Ia merangkumi tawaran pengalaman terbaik daripada segi kualiti paparan, sistem audio, binaan luar, penjimatan kuasa dan perkhidmatan lain yang ditawarkan.
Teknologi paparan televisyen moden bermula sekitar tahun 1980-an menerusi pengenalan teknologi tiub sinar katod (CRT).
Ia merupakan teknologi skrin pendarfluor yang menggunakan kaca bervakum untuk menghasilkan pancaran cahaya.
Pacaran tersebut kemudiannya akan menghasilkan imej pada skrin atau monitor dalam bentuk gelombang elektrik.
Disebabkan aplikasi CRT mempunyai beberapa kelemahan, maka secara perlahan-lahan ia telah digantikan dengan teknologi paparan hablur yang berupaya menghasilkan kualiti
terbaik.
Apabila berbicara mengenai kualiti, pengguna hari ini pastinya mahu mencari televisyen yang dilengkapi teknologi canggih dan termaju.
Melihat keperluan itu, banyak syarikat teknologi telah tampil memperkenalkan pelbagai model televisyen kategori panel rata seperti plasma, Liquid crystal display (LCD) light-emitting diode (LED) dan terbaru LED 3D.
Syarikat-syarikat itu adalah seperti Samsung, LG, Panasonic, Philips, Sony, Toshiba dan juga Sharp.
Bukan sekadar paparan, model-model televisyen tersebut turut ditampilkan bersama spesifikasi dan keupayaan sokongan transmisi digital secara menyeluruh.
- UTUSAN