Honda panggil balik 23,636 kereta
Jumlah itu adalah sebahagian daripada hampir 700,000 unit kereta Honda di seluruh dunia yang dipanggil balik berikutan kecacatan bahagian dalaman enjin yang turut boleh menyebabkan masalah menghidupkan semula enjin pada model tertentu.
Ketua Eksekutif dan Pengarah Urusan Honda Malaysia, Yoichiro Ueno, berkata daripada 23,636 unit kereta Honda yang dipanggil semula di Malaysia, 21,956 unit membabitkan model City keluaran 2009 dan 1,680 unit model Jazz keluaran 2009 dan 2010.
Beliau bagaimanapun berkata, model Honda yang dijual dalam pasaran ketika ini tidak menghadapi masalah berkenaan.
“Honda memohon maaf kepada semua pelanggan kami dan amat menyesal dengan kesulitan yang dialami berpunca daripada kesusahan ini.
“Kami akan menghantar surat kepada semua pelanggan yang terbabit bagi memaklumkan kepada mereka supaya menghantar kenderaan masing-masing kepada pengedar berdaftar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Honda Malaysia kini dalam peringkat penyediaan alat ganti kepada semua kenderaan terbabit, manakala pemeriksaan dan penggantian akan dilaksanakan apabila alat gantian sudah tersedia.
“Semua kos berhubung pemeriksaan dan penggantian akan ditanggung oleh Honda Malaysia,” katanya.
‘Lost motion springs’ yang dimampatkan oleh ‘rocker arms’ atau pemegang penggoyang dalam penggunaan enjin biasa, mungkin bengkok atau patah dari semasa ke semasa, sekali gus menyebabkan enjin berbunyi bising dan berpotensi mengakibatkan enjin terhenti.
Ueno berkata, setakat ini belum ada kemalangan atau kecederaan dilaporkan berhubung masalah itu.
Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai dinasihatkan menghubungi Honda menerusi talian bebas tol 1-800-88-2020, atau boleh mengunjungi pengedar Honda yang berdaftar.
- BERITA HARIAN