Livonia dinobat juara Pilih Kasih Ke-2
JUARA pertandingan program Pilih Kasih, Livonia (tengah) bersama Yuzwan Yunus, tempat kedua dan Ku Hariz, tempat ketiga di Kompleks Penyiaran Tunku Mohamad (RTM) di Seremban.
SEREMBAN: Selepas 10 minggu bertahan, akhirnya Livonia, 19 dinobatkan juara program realiti Pilih Kasih musim kedua pada final yang berlangsung di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad di sini, malam tadi.
Livonia memperoleh peratusan tertinggi iaitu 26.6 peratus, manakala tempat kedua dirangkul Yuzwan Yunus, 24 (24.82 peratus) dan ketiga Ku Hariz, 26 (16.02 peratus).
Pelakon Terbaik Telekom Malaysia (TM) Pilihan Juri yang baru diperkenalkan dimenangi Jay Iswazir, 29.
Dengan kemenangan itu, Livonia, antara lain membawa pulang trak pikap Trekker bernilai RM55,000; wang tunai RM10,000; pakej penjagaan kereta bernilai RM2,399; keahlian barangan kosmetik dan spa bernilai RM7,000 dan baucar penginapan tiga hari dua malam di Holiday Villa Hotel & Residence Doha, Qatar.
Yuzwan menerima set barang kemas bernilai RM5,000; motosikal Demak Evo Z; wang tunai RM7,000; pakej penjagaan kereta bernilai RM1,399; keahlian barangan kosmetik dan spa bernilai RM5,000 dan baucar penginapan di Holiday Villa Tuan Chau Island, Halong Bay, Vietnam.
Ku Hariz pula membawa pulang sebuah motosikal Demak EX90; wang tunai RM3,000; pakej penjagaan kereta bernilai RM899; televisyen Plasma 42 inci; barangan kosmetik dan spa bernilai RM3,000 dan baucar penginapan di Holiday Villa Sanur, Bali.
Bagi finalis lain, mereka menerima barangan kemas RM5,000, perabot dan pakej penjagaan kereta, baucar penginapan Holiday Villa, barangan kosmetik dan spa serta trofi.
Pemenang anugerah Pelakon Terbaik TM membawa pulang wang tunai RM3,000, baucar penginapan dua hari satu malam Holiday Villa dan tiket menonton perlawanan Manchester United di Stadium Old Trafford, Manchester, England.
- BERITA HARIAN