RapidKL perkenalkan tiket tanpa kertas pada 27 Feb 2011


Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) akan memperkenalkan sistem tiket tanpa kertas mulai 27 Feb 2011 bagi mengurangkan transaksi tiket yang mengambil antara 25 hingga 50 peratus daripada keseluruhan waktu perjalanan pada masa ini.

Sistem baru itu yang hanya mengambil kurang lima saat akan dilaksanakan terlebih dulu di laluan depoh bas Jalan Klang Lama membabitkan kawasan Putra Perdana, Puchong, Jalan Klang Lama dan Subang.

Pengarah Kumpulan Divisyen Bas Prasarana Negara Berhad (PRASARANA), Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, berkata pada masa ini, transaksi tiket memakan masa purata 15 saat bagi setiap penumpang, sekali gus sehingga 2.5 minit diambil di setiap hentian bas dengan 10 penumpang.

“RapidKL mempunyai purata 30 hentian dan penggunaan sistem tiket sebelum ini menyebabkan sehingga 50 peratus waktu perjalanan diperuntukkan hanya untuk transaksi tiket,” katanya kepada media selepas sesi penerangan di Pejabat RapidKL di Subang, semalam.

Sistem tiket tanpa kertas mempunyai empat komponen utama, Mesin Menjual Tiket (TVM); Pembaca Kad Pintar Tanpa Kontak; Mesin Tiket Elektronik serta Sistem Pengesanan Global Binaan Dalam (buit-in GPS) menawarkan ciri fleksibel, elektronik dan integrasi kerana boleh juga digunakan bagi perjalanan dengan monorel serta LRT.

Melalui sistem baru dikenali “Bit Sekali Masuk, Bit Sekali Keluar” itu, pengguna hanya perlu menyentuh kad pembayaran elektronik, Touch ‘n Go ketika menaiki bas dan jumlah maksimum tambang mengikut laluan dicaj akan dipaparkan.

Bagaimanapun, tambang sebenar akan ditolak dan baki akan dipulangkan secara kredit ke dalam kad Touch ‘n Go selepas penumpang menyentuh kad apabila keluar dari bas di destinasi dipilih.

Selain membeli lebih daripada satu tiket menggunakan kad sama, pengguna juga boleh menambah nilai dengan mudah di dalam bas dinaiki dan baki dalam kad akan dipulangkan berserta deposit RM2 sekiranya penumpang tidak mahu menggunakan kad Touch ‘n Go mereka lagi.

Penggunaan sistem baru akan dilaksanakan bagi laluan Kajang, Cheras dan Sungai Besi pada 8 Mac; Sentul, Segambut, Lembah Pantai (11 Mac); Keramat, Melawati, Gombak (14 Mac); Shah Alam, Puncak Perdana, Klang (17 Mac); Selayang, Batu Caves (19 Mac); Kepong Mah Sing, Damansara Jalan Duta (21 Mac); Kelana Jaya, SS2, Sea Park (23 Mac) dan Pandan, Ampang (26 Mac).

INFO: Laluan bas RapidKL tiket tanpa kertas
# Kajang, Cheras dan Sungai Besi (8 Mac).
# Sentul, Segambut, Lembah Pantai (11 Mac).
# Keramat, Melawati, Gombak (14 Mac).
# Shah Alam, Puncak Perda-na, Klang (17 Mac). Selayang, Batu Caves (19 Mac).
# Kepong Mah Sing, Damansara Jalan Duta (21 Mac).
# Kelana Jaya, SS2, Sea Park (23 Mac).
# Pandan, Ampang (26 Mac).

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url