Rekod 17 PRK Penggal PRU-8 Masih Kekal
Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) pada 8 Mac 2008, negara tidak pernah sunyi dengan rentetan beberapa siri pilihan raya kecil (PRK).
Memasuki edisi ke-16 menerusi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, fenomena PRK dalam tempoh penggal ke-12 kali ini sangat mencuri perhatian bukan sahaja di kalangan ‘pemain’ arena politik tanah air, malah peminat dan pemerhati tempatan.
Namun catatan angka ‘16’ bukanlah rekod terbanyak siri PRK yang pernah dicatatkan di negara ini kerana ia belum mengatasi jumlah tertinggi iaitu sebanyak 17 PRK diadakan dalam penggal PRU ke-8 pada 1990.
Menurut data yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 17 PRK berkenaan ialah di DUN Sipitang, Sabah; Sulabayan, Sabah (DUN); Bayu, Kedah (DUN); Jerlun, Kedah (Parlimen); Limbongan, Kelantan (DUN); Sungai Pinang, Kelantan (DUN); Seberang Prai, Pulau Pinang (DUN); Serkam, Melaka (DUN); Usukan, Sabah (DUN); Jerai, Kedah (Parlimen); Bukit Payung, Terengganu (DUN); Batu Kawah, Sarawak (DUN); Kampung Raja, Terengganu (DUN); Batu Talam, Pahang (DUN); Lundang, Kelantan (DUN); Sementa, Selangor (DUN) dan Shah Bandar Raya, Selangor (DUN).
Sungguhpun dua dekad lalu negara pernah berhadapan dengan 17 PRK dalam satu penggal pilihan raya, namun hakikatnya ia tidak memberikan dampak yang besar kepada landskap politik negara pada ketika itu.
Berbanding selepas PRU ke-12, kehadiran satu demi satu PRK cukup terkesan hinggakan ada yang sudah bosan malah tidak kurang juga yang mencadangkan supaya pindaan terhadap Perlembagaan dilakukan bagi menghalang lebih banyak PRK.
Bagi parti politik, PRK merupakan medan untuk menguji maruah serta mengukur sokongan semasa rakyat. Tetapi jika dilihat menerusi sisi yang berbeza, PRK mengundang perbelanjaan yang besar sama ada di pihak SPR mahupun parti politik.
Namun mengapa baru kini isu PRK begitu hangat diperkatakan? Mengapa baru sekarang isu bosan dibangkitkan sedangkan beberapa penggal PRU sebelum ini kita sudah berhadapan dengan situasi berkenaan?
Berdasarkan rekod, menerusi penggal PRU antara edisi ke-8 pada 1990 hingga yang ke-11 pada 2004, sebanyak 47 PRK diadakan.
Daripada jumlah itu 15 PRK diadakan sepanjang penggal ke-9 (1995), sembilan PRK dalam penggal ke-10 (1999) dan enam PRK menerusi penggal ke-11 (2004).
Jika dikaji dari segi situasi politik pada setiap edisi, ada beberapa faktor yang menyumbang kepada tahap kepekaan rakyat mengenai PRK.
Misalnya bagi edisi sebelum PRU ke-10 pada 1999. Walaupun begitu banyak PRK diadakan dalam tempoh berkenaan, namun ia bukanlah menjadi satu fenomena yang merisaukan atau merimaskan banyak pihak.
Dari satu sudut, kehadiran satu demi satu PRK ketika itu iaitu sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada September 1998 tidak begitu dirasai kerana gelombang kekuatan pembangkang tidak dirasai.
Begitu juga menerusi PRK dalam dua penggal PRU sebelum gelombang Mac 2008 berlaku.
Walaupun tiga parti pembangkang utama iaitu PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bergabung sebagai satu koalisi menjadi Barisan Alternatif (BA) pada PRU 1999, kehadiran mereka tidak memberi kesan kepada keadaan politik negara.
Justeru, kehadiran PRK pada setiap penggal juga tidak begitu menggemparkan kerana kebanyakan kemenangan akan berpihak kepada parti pemerintah.
Melainkan pada PRU 2008, secara kebetulan kekuatan pembangkang begitu meluap-luap hinggakan gabungan parti pembangkang berjaya menafikan penguasaan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen.
Secara kebetulan juga dalam penggal semasa kita berhadapan dengan 16 PRK - kurang satu untuk menyamai rekod yang berlaku pada penggal PRU ke-8.
- MSTAR