Satu keluarga, tiga kenderaan

Dianggarkan setiap keluarga memiliki sekurang-kurangnya tiga kenderaan berdasarkan statistik terbaru Kementerian Pengangkutan menunjukkan sebanyak 21.2 juta kenderaan didaftarkan di negara ini sehingga tahun lalu.

Bilangan kenderaan berkenaan meningkat kira-kira 11.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala sebanyak 1.15 juta kenderaan baru didaftarkan pada 2010 meningkat 13.7 peratus berbanding 2009.

Anggaran pemilikan kenderaan berkenaan dibuat dengan mengambil kira bilangan penduduk negara seramai 27.5 juta manakala 6.3 juta adalah isi rumah dengan 7.3 juta tempat kediaman, dicatatkan tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, yang mengumumkan statistik terbaru kenderaan itu dalam satu kenyataan semalam, berkata dengan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya, pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati bagi mengelak kemalangan daripada berlaku.

“Mengikut rekod, jumlah terkumpul kenderaan yang didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan jumlah yang tertinggi dicatatkan di Wilayah Persekutuan dengan 4.9 juta kenderaan diikuti Johor (2.9 juta) dan Selangor sebanyak 2.3 juta,” katanya.

Wilayah Persekutuan turut menjadi negeri paling tinggi mencatatkan jumlah kenderaan baru didaftarkan tahun lalu iaitu 306,513 buah diikuti Johor (145,040 kenderaan) dan Pulau Pinang (110,882).

Jenis kenderaan yang paling banyak didaftarkan pula adalah kereta (584,304), motosikal (498,041) dan kenderaan barang (40,887).

Kong berkata, pendaftaran pengangkutan awam pada 2010 turut menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya dengan pendaftaran bas meningkat sebanyak 5.24 peratus, teksi (22.9 peratus) dan kereta sewa pandu (53.49 peratus).

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url