Ungguli peribadi Rasulullah

Oleh HARUSSANI ZAKARIA

Hari Selasa yang lalu bersempena dengan 12 Rabi'ul Awal 1431 hijriah, umat Islam di seluruh Malaysia dan barangkali di serata dunia meraikan hari kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW atau lebih sinonim dengan Sambutan Maulidur Rasul SAW. Ketika melihat suasana sambutan di kebanyakan negeri di tanah air ini, saya dapat mengagak bahawa betapa masyarakat Islam masih punyai kasih sayang dan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW. Biarpun sambutannya tidaklah sehebat mana-mana perayaan yang disambut di negara lain namun, setidak-tidaknya kesedaran bahawa dengan mengenang kelahiran seorang cahaya mata bernama Muhammad bin Abdullah ini, maka sinar Islam makin berserakan di dalam diri apatahlagi keadaan bangsa kita yang terlalu memerlukan bimbingan Ilahi bagi menjamin kebahagian dunia dan akhirat.

Baginda SAW bukan sekadar manusia seperti kita, malah lebih dari itu sebagai pembimbing yang amat berwibawa hingga seluruh makhluk merasai rahmat dan kasih sayangnya. Sebagai manusia yang beriman, sudah pasti kita sentiasa merasai kehadiran Baginda SAW biarpun pada hakikatnya Baginda SAW sudah lama meninggalkan kita. Saban waktu, namanya tak lekang dari bibir dan tak lapuk dari hati kita disebabkan begitu hampirnya Rasulullah SAW dalam kehidupan kita ini.

Al Imam Muhammad Syarbini al Khatib menukilkan di awal kitab karangannya Al Iqna' bahawa, datuk Baginda SAW pernah ditanya mengapakah beliau menamakan cucu kesayangannya dengan "Muhammad" sedangkan ia bukan daripada rangkaian nama-nama generasi sebelumnya mahupun nama yang digunapakai bagi kaumnya. Lantas, datuknya Abdul Mutalib menjawab bahawa dengan nama tersebut adalah diharapkan supaya beliau dipuji oleh penduduk langit dan bumi. Lihatlah betapa nama punyai peranan dan nilai tersendiri kepada seseorang individu dalam membentuk identiti diri dan bukan hanya sekadar pengenalan bagi sekujur batang tubuh sahaja. Perlu diperingat selalu ketikamana melihat "trend" masakini terdapat segelintir masyarakat lebih berminat dengan meletakkan nama-nama yang kekadang tidak punyai makna serta terdapat juga nama yang mempunyai makna yang tidak baik terhadap anak cucu mereka. Agaknya bagi golongan ini, yang penting adalah sedap untuk disebut atau punyai ciri ala kebaratan.

Di sudut yang lain pula, kelahiran Baginda SAW dalam keadaan yatim bukanlah secara kebetulan, tetapi mengikut takdir Ilahi dan hikmahNya sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh Ramadhan Al Buthi. Disamping itu, Dr 'Aid Al Qarni menyatakan bahawa Rasulullah SAW dilahirkan dalam keadaan yatim untuk menjadi suri teladan dan contoh bagi anak-anak yatim yang lain sehingga mereka yakin bahawa keadaan yatim bukanlah suatu keaiban, bukan juga kecacatan serta kemurkaan dari Allah SWT. Saya lebih cenderung untuk menerima pandangan bahawa status sebagai anak yatim merupakan suatu ketentuan Ilahi agar tidak berlaku campurtangan manusia dalam mendidik dan mentarbiah Baginda SAW. Hal ini bertepatan dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud "Aku dididik oleh Tuhanku, yang mendidikku dengan sempurna".

Bila menelusuri sirah perjalanan hidup Rasulullah SAW bermula dari sebelum kelahiran hinggalah Baginda SAW menemui Allah SWT, maka kita pastinya akan melihat bahawa seluruh tindak tanduknya menjadi panduan, ikutan dan contoh yang tiada taranya. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".

Kecintaan kepada Rasulullah SAW

Kecintaan kepada Rasulullah SAW merupakan suatu sifat orang yang beriman sepertimana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 31 yang bermaksud "Katakanlah (Wahai Muhammad) Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Imam al-Syaukani dalam tafsirnya menyebutkan bahawa kecintaan adalah neraca kecenderungan terhadap sesuatu. Kecintaanlah yang menyebabkan seseorang membenarkan dan mengikuti sesuatu yang dicintainya. Sementara itu, Imam al-Azhari menyatakan bahawa kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT dan Rasul SAW adalah dengan mengikuti segala arahan dan perintahnya. Manakala kecintaan Allah SWT kepada para hambanya dengan memberikan limpahan keampunan kepada mereka. Al Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya pula menyatakan bahawa sesungguhnya bagi mereka yang mendakwa mencintai Allah SWT maka satu ketatapan di dalam ayat ini, mereka perlulah juga mencintai Rasul SAW. Maka bagi mereka itu Allah SWT akan melimpahkan kepadanya keampunan. Imam Al Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan hadis dari Anas ibn Malik r.a bahawa Rasul SAW bersabda: "Demi jiwa ku yang berada ditangannya, tidak beriman seseorang dari kamu hinggalah diriku ini dicintai olehnya lebih dari ibubapanya, anak-anaknya dan manusia sekaliannya".

Apabila kita menelaah rangkaian hadis tentang kecintaan kepada Rasulullah SAW, pastinya kita akan menemui saranan agung dari Baginda SAW antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Imam At- Tabrani dari saidina Ali r.a menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabd yang bermaksud "Didiklah anakmu dengan 3 sifat, cintakan Nabimu, cintakan keluarganya dan membaca al-Quran."

Sambutan dan perpaduan

Saya diberi peluang untuk menyampaikan ceramah berkisar tentang hal ini sewaktu sambutan peringkat Negeri Perak baru-baru ini. Saya menyedari dan menginsafi bahawa apa yang saya dan para pendakwah lain sampaikan itu adalah rentetan daripada kerja buat yang diwarisi daripada tugas para nabi dan rasul. Memperingatkan seluruh manusia yang beriman agar sentiasa melakukan yang maaruf dan meninggalkan kemungkaran. Disamping itu, mengajak semua peringkat manusia yang beriman agar meningkatkan komitmen menyeru rakan-rakan yang bukan Islam agar menerima Islam dengan cara hikmah, mau'izah hasanah dan perdebatan yang bersopan. Sebagai orang yang beriman sepatutnya kita mendahului rakan-rakan kita yang bukan Islam dalam kesemua hal dan perkara yang baik. Amat perlu bagi seluruh umat Islam menunjukkan kebijaksanaan dalam berfikir, tindakan kita perlu berprinsipkan keadilan, perbuatan kita perlu selari dengan akhlak yang diajari oleh Allah SWT dan Rasul SAW. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Qalam ayat 4 yang bermaksud "dan Bahawa Sesungguhnya Engkau mempunyai akhlak Yang amat mulia"

Qadhi al-'Iyad menukilkan bahawa baginda SAW merupakan seorang yang sangat tabah dan cekal, seorang yang pemaaf walaupun berupaya membalas, sabar menghadapi segala yang tidak disenanganinya. Ianya adalah sifat-sifat luhur yang dengan sifat itu Allah mendidiknya. Semua orang yang tabah, sebelumnya pernah diketahui ada kegelinciran dan pernah terbabas daripada tindakan yang betul. Akan tetapi, Rasul SAW tidak begitu. Semakin bertambah gangguan dan penyakit, maka bertambahlah kesabarannya.

Realiti yang berlaku sekarang ini kekadang amat mendukacitakan. Terdapat penceramah yang dijemput menggunakan kesempatan berceramah dengan ungkapan-ungkapan yang tidak lunak didengar. Apatah lagi ungkapan tersebut dikumandangkan di dalam rumah Allah SWT. Apakah mereka tidak sedar bahawa cacian, makian serta melaknat individu lain merupakan larangan keras yang kita sama-sama memperolehinya dari ajaran Nabi SAW. Al Imam Al Tirmizi, Ahmad, Ibnu Hibban, Al Hakim dan Al Bukhari dalam Adabul Mufrad menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud "Orang Mukmin itu bukanlah orang yang suka mencemarkan kehormatan, bukan pula orang yang suka mengutuk, berkata keji dan mengumpat". Dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban, Ahmad dan Al Bukhari dalam Adabul Mufrad juga, Rasulullah SAW memperingatkan bahawa "Jauhilah perkataan keji, kerana Allah SWT tidak menyukai perkataan keji, kata mengata dengan perkataan keji"

Di mana kekuatan umat Islam sekiranya hal ini berleluasa dalam masyarakat. Sekiranya ia dibiarkan nescaya kerukunan dan perpaduan umat Islam akan runtuh. Teringat saya ungkapan Saidina Umar r.a yang bermaksud "Tiada kemenangan melainkan dengan kekuatan, tiada kekuatan melainkan dengan kesatuan, tiada kesatuan melainkan dengan keutamaan budi, tiada keutamaan budi melainkan dengan agama dan tiada agama melainkan dengan dakwah". Akhir kata marilah kita menyahut saranan Allah SWT sepertimana dalam firmanNya dalam surah al-Ahzab ayat 56 yang bermaksud "Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi Segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad saw); Wahai orang-orang Yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta Ucapkanlah salam sejahtera Dengan penghormatan Yang sepenuhnya."

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url