Objektif Penubuhan UiTM Berbeza Dengan Universiti Lain - NC
Beliau berkata, UiTM tidak akan berlumba atau bersaing dengan institusi pengajian tinggi (IPT) lain untuk menjadi universiti terbilang.
"Matlamat penubuhan setiap IPT termasuk UiTM adalah berbeza. UiTM mengambil pelajar miskin yang tidak ada orang (IPT lain) yang hendak untuk menjadikan mereka yang terbaik. Oleh itu apa sebabnya kita mesti menyertai ranking dan bersaing dengan Harvard (Universiti Harvard di Amerika Syarikat).
"Universiti Harvard terima pelajar yang kaya, ada kuasa, anak-anak orang ternama dan mereka keluarkan siswazah terbaik untuk Amerika.
"Jadi, bersaing dengan mereka adalah kerja bodoh dan kita akan tersimpang jauh dari tanggungjawab dan tujuan asal kita," katanya kepada pemberita semasa melawat UiTM Kedah di Merbok dekat sini Rabu.
Beliau diminta mengulas tentang kenyataan Ketua II Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar yang menggesa Naib Canselor atau Rektor IPT yang ingin mengejar ranking sehingga meminggirkan pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan dalam bahasa Melayu, supaya melepaskan jawatan.
Dr Sahol berkata, sejak awal lagi beliau telah menyatakan pendiriannya tidak akan menyertai persaingan ranking.
Jelas beliau, dengan tidak menyertai sistem ranking, UiTM masih mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Beliau juga tidak mahu dilihat oleh pihak tertentu sebagai naib canselor yang "gila ranking."
Katanya, UiTM juga tidak bermasalah untuk memartabatkan bahasa kebangsaan meskipun menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
"Kita gunakan bahasa Inggeris tapi tidak pinggirkan bahasa Melayu. UiTM merupakan satu-satunya IPT yang mewajibkan pelajarnya mempelajari tulisan Jawi. Ini adalah usaha murni untuk martabatkan bahasa Melayu," tegasnya.
- MSTAR