Hari TLDM 27 April - Terus Melangkah Gagah Di Mata Dunia

Berbekalkan semangat ketenteraan, ketaatan kepada negara serta keberanian yang tidak terhingga, pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bakal berusia 77 tahun esok, semakin giatmengukuhkan struktur angkatannya dalam menjamin kedaulatan dan keselamatanmaksimum samudera negara.

Melakar nama sebagai satu daripada cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), TLDM berjaya menampilkan diri sebagai sebuah ketumbukan yang berwibawa, utuh dan siap siaga dalam menempuhi segala cabaran demi menabur khidmat bakti kepada rakyat dan negara.

Misalnya, kejayaan penugasan kapal auxiliary Bunga Mas 5 di perairan paling berbahaya di Teluk Aden, Somalia, berjaya membuka mata dunia sekaligus menjadi antara peristiwa paling bersejarah yang tercatat dalam rekod pertahanan negara.

Tanggal 20 Jan lalu itu merupakan detik paling membanggakan apabila pasukan Ops Fajar 8 berjaya merampas kembali kapal dagang MT Bunga Laurel yang ditawan lanun manakala tujuh lanun bersenjata api berjaya ditumpaskan dan ditangkap oleh Pasukan Perlindungan Khas (PPK) selepas berbalas tembakan dari laut dan udara.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata kejayaan itu sekaligus mengangkat martabat ATM khususnya TLDM ke tahap yang lebih tinggi di persada maritim antarabangsa sebagai pasukan tentera laut yang setanding kehebatannya dengan negara lain.

Katanya, kecemerlangan pasukan itu telah turut membuktikan keupayaan dan kemampuan TLDM dalam mengoperasikan asetnya secara berterusan di perairan negara asing yang jaraknya beribu batu dari tanah air dengan jayanya.

"Ops Fajar telah memasuki kali kesembilan dan sepanjang operasi ini dijalankan tiada satu pun kapal dagang milik MISC atau berkepentingan negara yang lain ditawan lanun bersenjata tersebut.

"Malah kehadiran Ops Fajar juga telah menggagalkan dua cubaan serangan lanunke atas kapal dagang milik negara asing iaitu China, MV Zhenhua 4 pada 17 Disember2008 dan kapal dagang India, MT Abdul Kalam Azad pada 1 Jan 2009," katanya kepada dalam temubual khas di pejabatnya di sini.

Abdul Aziz berkata kesinambungan kejayaan yang lebih cemerlang mungkin akan dapat direalisasikan dengan cadangan penambahan sebuah lagi kapal pengiring yang dijangka akan diperolehi pada September hadapan sekiranya penugasan tersebut diluluskan MISC Berhad.

Ketika ini, katanya, dengan hanya satu kapal beroperasi, tugas untuk mengiringi kapal-kapal dagang Malaysia melalui Teluk Aden agak sukar dan mengambil masa yang lama berikutan jumlah kapal yang terlalu banyak untuk diiring. "Dua mesyuarat dengan pihak MISC Berhad telah dijalankan dengan lancar termasuk berbincang bagi menentukan konsep, bentuk dan ciri-ciri kapal kedua itu. Pada 5 Mei depan perkembangan dan status terkini mengenai cadangan tersebut akan diperbincangkan lebih mendalam lagi.

"Jika direalisasi, kapal kedua akan beroperasi secara 'independent' iaitusatu kapal melaksanakan pengiringan dari Barat ke Timur dan satu lagi Timur keBarat. Ini akan melancarkan pengoperasian dan pergerakan kapal-kapal dagang Malaysia sekaligus memberi pulangan kewangan yang tinggi kepada syarikat MISC," katanya.

Katanya, kapal auxiliary Bunga Mas 5 telah melakarkan sejarah yang tersendiri apabila merupakan satu-satunya kapal auxiliary yang pertama di dalam dunia yang digunakan dalam membanteras lanun di Teluk Aden.

Ops Fajar dilancarkan ekoran insiden rampasan dua buah kapal milik MISC iaitu Bunga Melati 2 dan Bunga Melati 5 di perairan itu pada Julai 2008 sebelumBunga Mas 5 yang sebelum itu merupakan kapal dagang milik MISC Berhad diubahsuai menjadi kapal auxiliary TLDM.

Ia dilaksanakan bertujuan untuk mengiringi dan melindungi keselamatan kapal-kapal dagang berkepentingan negara dari ancaman lanun di perairan Teluk Aden serta perairan berdekatan.

Pasukan Khas Laut (PASKAL) atau dikenali sebagai KD Panglima Hitam merupakantulang belakang kejayaan Ops Fajar di mana turut dibantu oleh cabang perkhidmatan yang lain iaitu Grup Gerak Khas (GGK) Tentera Darat, Pasukan Khas Udara (PASKAU) serta krew MISC Berhad yang diserapkan ke dalam Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM).

Abdul Aziz berkata TLDM juga akan memperkemaskan sistem pertahanannyamelalui perancangan pembelian peralatan dan aset pertahanan yang terkini serta termoden termasuk penggantian aset-aset yang dijangka akan dilupuskan dari perkhidmatan selaras dengan hasrat menjadi organisasi yang lebih cekap serta siap siaga.

Beliau berkata antara inventori yang dirancang untuk diperolehi dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) akan datang termasuklah pembelian enam buah helikopter antikapal selam, kapal bantuan pelbagai guna (MSS) dan kapal bantuan bencana bagi meningkatkan pertahanan maritim negara

Bagi tujuan latihan dan juga rondaan, TLDM turut bersetuju membeli dua buah kapal dari syarikat pembinaan kapal tempatan, NGV Tech Sdn Bhd dan ia akan dibina di limbungan kapal NGV Tech di Kampung Sinjangkang, Teluk Panglima Garang yang perolehannya dijangka dalam tempoh dua tahun lagi.

"Ia hanya kapal rondaan biasa tetapi canggih dan akan dilengkapkan dengan beberapa alat persenjataan yang akan digunakan sebagai objek latihan dan wargaTLDM akan dilatih terlebih dahulu untuk mengendalikan kapal tersebut," katanya. Beliau menafikan bahawa khidmat kapal frigat KD Hang Tuah yang digunakanMalaysia sejak 1977 akan ditamatkan dengan pembelian kapal baru terbabit sebaliknya operasi kapal latihan tersebut akan diteruskan untuk melatih pegawai kadet tentera laut memandangkan ia masih mampu digunakan.

Beliau berkata kesiapsiagaan tentera laut amatlah penting dalam dimensi pertahanan negara kerana dunia kini bukan sahaja berhadapan dengan peperangan konvensional malahan turut berdepan dengan pelbagai ancaman jenayah yang semakin kompleks.

Katanya, ini adalah searus dengan ledakan teknologi maklumat masa kini, peralatan dan persenjataan di samping perubahan dalam sistem geopolitik dunia yang memaksa semua pihak membuat perubahan doktrin dan strategi untuk menghadapi ancaman serta perubahan yang lebih mencabar.

TLDM, meskipun ada pihak mempertikai mengenai pembelian aset pertahanan mereka termasuk tuduhan kapal selam tidak beroperasi dengan baik dan pembelianaset-aset pertahanan yang dikatakan pembaziran seperti pembelian enam KapalTempur Pesisir (LCS) yang dikatakan mahal, itu semua langsung tidak mematahkansemangat angkatan itu.

Abdul Aziz berkata kedua-dua buah kapal selam milik negara itu telah berjayamenganjak TLDM dari angkatan laut persisir pantai kepada angkatan laut yang lebih hebat dengan keupayaan tiga dimensi peperangan setanding negara maju. Katanya, hingga kini, kapal selam KD Tunku Abdul Rahman yang tiba di perairan Malaysia pada Sept 2009 serta KD Tun Abdul Razak yang tiba pada Julai 2010, berada dalam keadaan baik dan beroperasi pada tahap optimum.

"Keupayaan kedua-dua kapal selam itu berada pada tahap kesiagaan yang tinggi dan beroperasi dengan baik. Memiliki kapal selam di lautan terbuka merupakanpengawasan hebat buat negara kita," katanya.

Mengenai sambutan ulang tahun TLDM esok, beliau berkata sambutan yang bertemakan "Warga Didahulukan, KesiapsiagaanDiutamakan" akan disambut secara sederhana tetapi meriah.

Ulang tahun ke-77 TLDM akan disambut di Lumut dan antara acara yang dirancang ialah Istiadat Mengarak Panji-Panji Rejimen yang akan dihadiri Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Kolonel Yang Dipertua TLDM. TLDM dilihat semakin matang dalam usaha mengukuhkan struktur angkatan dan armadanya dalam menjamin keselamatan meskipun tanggungjawab yang digalas cukup berat dan tidak dinafikan ia mempunyai sejarah perkhidmatan yang membanggakan sepanjang 77 tahun kewujudannya.

Justeru, amat wajar sekali TLDM dikalungkan dengan ucapan tahniah dan syabas kerana telah melangkah gagah dengan yakin dalam menjadi sebuah angkatan yang berkeupayaan untuk mendominasi keseluruhan spektrum operasi ketenteraan serta menjadi angkatan tentera yang versatil di abad ini.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url