Ulang tahun ke-50 Yuri Gagarin ke angkasa
Wanita pertama sampai ke angkasa juga adalah dari Soviet iaitu Valentino Tereshkova. Malah sebelum mereka pula, haiwan pertama yang sampai ke angkasa juga datang dari Soviet iaitu anjing bernama Laika.
Bukan itu saja, kapal angkasa pertama, Sputnik dunia adalah hasil karya Soviet.
Kesan daripada kejayaan itu adalah besar kepada seluruh dunia. Ada anak-anak Melayu yang namanya Yuri dan juga Valentino mengambil sempena angkasawan Soviet itu.
Ketika itu di Malaya walaupun Darurat sudah diisytiharkan tamat tetapi perang menentang Parti Komunis Malaya (PKM) masih berlangsung
Di peringkat dunia, pertembungan antara Soviet dan Amerika Syarikat (AS) sedang memuncak. Sebuah negara jirannya, Cuba baru jatuh ke tangan komunis.
Sementara di banyak negara di seluruh dunia, ada saja parti komunis yang sedang menentang kerajaan masing-masing.
Di Singapura pula masa itu adalah mencemaskan. PKM mempunyai kehadiran kuat di situ. Malah dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP), berlaku pertarungan antara kumpulan pro-komunis dan anti-komunis. Lee Kuan Yew berjaya menyisihkan golongan pro-komunis yang kemudian menubuhkan Barisan Sosialis.
Washington dan Britain bimbang Singapura akan jatuh kepada komunis dan menjadi Cuba di Asia Tenggara. Jalan untuk menyelamatkan Asia Tenggara ialah dengan menyatukan Singapura dengan Malaya. Maka lahirlah gagasan Malaysia. Malaya dan Malaysia berada di sebelah Amerika dan sekutu-sekutunya. Gelagat kedua-dua kuasa ini sedang diperhatikan di seluruh dunia. Siapa yang akan menang pada masa itu belum diketahui.
Tetapi apa yang pasti Soviet telah menunjukkan dirinya sebagai kuasa masa depan kerana kejayaannya menghantar manusia ke angkasa lepas. Maknanya sains dan teknologi Soviet adalah paling ke hadapan di dunia mengatasi AS.
Sememangnya AS kurang kesungguhan dalam menjayakan sains dan teknologi mereka pada masa itu.
Kekayaan ilmu sains di AS dapat dipercepatkan kerana kemenangannya dalam Perang Dunia Kedua dan dasar menekan Yahudi oleh Jerman semasa pemerintahan Nazi.
Lantaran tekanan Nazi itulah banyak ahli sains termasuk Albert Einstein berhijrah ke AS. Begitu juga dengan ahli-ahli sains Jerman lain yang memberi sumbangan kepada pembangunan teknologi nuklear dan bom atom AS.
Sememangnya asal teknologi roket adalah Jerman. Andai kata Jerman tidak mencetuskan Perang Dunia Kedua, mungkin negara itulah satu-satunya yang berjaya membangun teknologi roket dan menjadi negara pertama mengirim manusia ke angkasa, dan bukannya Soviet atau AS.
Selepas Nazi tumbang dan Jerman terbahagi dua, di sebelah barat ditakluk AS dan sekutu-sekutunya dan di sebelah timur oleh Soviet, maka ilmu roket dan keangkasaan negara hebat itu juga terbahagi dua. Saintis yang menyokong demokrasi pergi ke Amerika, sementara penyokong komunis menyumbang pula kepada Soviet.
Keturunan
Saintis keturunan Jerman di AS menasihati Washington supaya cepat membangun teknologi roketnya kerana mereka ketahui bahawa Soviet sedang rancak merancangnya. Sememangnya misi roket dan keangkasaan Soviet mempunyai fokus jelas. Sains dan teknologi akan digunakan sepenuhnya untuk mencapai matlamat politik ideologi komunisme.
Washington tidak menghiraukan nasihat bekas saintis Jerman itu. Mereka tidak fikir bahawa Soviet mampu menerbangkan manusia ke angkasa.
Tetapi pada 4 Oktober 1957 lebih sebulan selepas Malaya merdeka, kapal angkasa pertama dunia, Sputnik dilancarkan di pangkalan yang terletak dalam Republik Soviet Sosialis Kazakh (Kazakh SSR), sebuah republik dalam Soviet.
Ia merupakan tamparan hebat kepada AS. Wibawa Soviet, dan juga komunisme meningkat di mata dunia pada masa itu. Dunia demokrasi dan sistem ekonomi terbuka mengalami tamparan hebat.
Washington tersedar bahawa nasihat dan amaran bekas saintis Jerman mempunyai kebenarannya.
Maka mereka juga berasa cemas kalau-kalau Amerika akan ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi.
Ekoran itu Presiden John F. Kennedy menerapkan dasar sains yang agresif termasuk pendidikan sains. Semua sekolah, kolej dan universiti mendapat tekanan supaya meningkatkan pendidikan sains mereka.
Sementara dengan tidak berlengah-lengah lagi mereka segera bingkas membangun teknologi roket dan keangkasaan bagi mengalahkan Soviet.
Dalam kerancakan itu, kejayaan Soviet menghantar Yuri Gagarin ke angkasa merupakan satu lagi pukulan kepada AS. Tetapi pukulan ini diambil secara positif yang kemudian menyebabkan AS meletakkan sasaran akan menjadi negara pertama yang mendaratkan angkasawannya ke permukaan bulan.
Maka pada tahun 1969, penghujung dekad 60-an, Amerika berjaya mengalahkan Soviet dengan mencapai sasarannya meletakkan Neil Armstrong sebagai manusia pertama mendarat di bulan.
Ternyata dalam 10 tahun, AS berjaya mengalahkan Soviet. Wibawa AS bertambah pulih dan akhirnya, iaitu 20 tahun kemudian, sistem Soviet ternyata gagal dan kerajaan komunis tumbang.
Soviet dibubarkan dan Persekutuan Rusia serta republik-republik lain di dalamnya turut mendapat kemerdekaan. Program roket Soviet diwarisi oleh Rusia. Tetapi pangkalan angkasa yang terletak di Baikonur tidak terletak dalam Rusia. Ini kerana kini Kazakh SSR sudah menjadi Kazakhstan.
Siapa sangka bahawa kekaguman orang Malaya kepada Yuri Gagarin akan akhirnya membawa kepada Malaysia turut menghantar angkasawan pertamanya melalui teknologi roket Rusia daripada pangkalan Baikonur ini.
Maknanya angkasawan Malaysia pertama, Sheikh Muszaphar Shukor menjadi pewaris teknologi yang dibangunkan sejak Yuri Gagarin dan Sputnik.
Sheikh Muszaphar pula adalah antara ribuan anak Malaysia yang merupakan hasil daripada usaha gigih negara untuk membangunkan sains dan teknologi.
Komitmen negara ini jelas hinggakan sains dan teknologi turut terkandung dalam Rukun Negara. Bukan saja Soviet dan AS, Malaysia juga sedar bahawa wibawa negara terletak pada pencapaian dalam bidang itu.
- MINGGUAN MALAYSIA