Kerjaya jadi ibadah jika dilakukan ikut garis ditetapkan Islam

Oleh Mohd Ali Muhamad Don

Segelintir masyarakat tidak memahami pekerjaan seharian dinilai sebagai ibadah apabila memenuhi garis panduan ditentukan syariat. Malah di situlah letaknya nilai keunikan Islam sebagai cara hidup jika difahami dengan teliti.

Pernyataan ini sekali gus menafikan pandangan serong yang cuba memisahkan agama dengan kehidupan kerana setiap gerak geri dan tindak tanduk umat Islam dinilai baik ataupun buruknya. Matlamat akhir sesuatu pekerjaan dilakukan mestilah bertujuan memperoleh keredaan Allah.

Justeru, beberapa perkara perlu diperhalusi bagi mencapai maksud dan tujuan mulia itu antaranya, niat ikhlas ketika bekerja kerana tidak dinafikan setiap orang pasti mengharapkan balasan bersifat duniawi seperti gaji dan ganjaran lain terhadap kerja yang dilakukan.
Saranan Baginda Nabi Muhammad SAW supaya pekerja dibayar upah sebelum kering peluhnya menunjukkan bagaimana Islam sangat mengambil berat persoalan ini. Lebih daripada itu, niat ikhlas ketika bekerja boleh diterjemahkan dengan tidak curi tulang atau melakukan kerja sambil lewa.

Malah ada juga yang bersungguh-sungguh bekerja ketika di depan bos lalu dianggap seorang yang berdedikasi tetapi berubah menjadi munafik apabila di belakangnya. Amalan buruk sebegini dikhuatiri memberi kesan kepada keberkatan gaji diperoleh sekalipun banyak tetapi masih tidak mencukupi.

Memilih pekerjaan yang dibenarkan syariat adalah antara syarat utama sesuatu pekerjaan dinilai ibadah. Aktiviti tidak sihat dan dilarang agama mengundang kemurkaan Allah, jadi bagaimana ia boleh diterima sebagai ibadah.

Tindakan individu yang mengaut keuntungan daripada kesusahan orang lain adalah pekerjaan yang diharamkan. Amalan buruk seperti ini boleh menjejaskan hubungan istimewa seorang Muslim dengan saudaranya yang lain.
Pembabitan masyarakat Islam dalam aktiviti tidak sihat seperti bekerja di premis menjual arak, pusat hiburan dan judi, premis yang menganjurkan maksiat seperti kelab malam dan pusat pelacuran dilarang sama sekali.

Sesibuk mana pun bekerja ia tidak seharusnya menyebabkan seseorang melalaikan tanggungjawab ibadat khususnya solat dan berpuasa di bulan Ramadan. Ia juga tidak boleh dijadikan alasan untuk mengqada solat yang sengaja ditinggalkan.

Dalam hal ini, ketua jabatan yang beragama Islam boleh memainkan peranan sentiasa mengingatkan kakitangan bawahan supaya tidak mengabaikan solat lima waktu. Mesyuarat yang diadakan boleh dirancang supaya tidak menyebabkan tertinggal solat fardu.

Dalam konteks lain, suami isteri bekerja perlu memahami mereka bertanggungjawab mengurus rumah tangga dan anak dengan sempurna. Adalah tidak molek isteri hebat di pejabat tetapi suami dan anak berantakan di rumah.

Begitu pula jika suami hanya sibuk dengan perniagaan dan bermain golf selepas waktu pejabat, boleh mengundang implikasi buruk seperti isteri curang dan anak bebas tanpa perhatian ibu bapa.

Ketika bekerja, adab dan pergaulan antara bukan mahram perlu diberi perhatian serius. Elakkan perkara yang boleh mengundang fitnah sehingga merosakkan hubungan suami isteri.

Cara berpakaian segelintir wanita berkerjaya dan hubungan di tempat kerja hendaklah tidak melangkaui sempadan agama dan garis panduan ditetapkan. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Wanita adalah aurat, apabila dia keluar maka syaitan akan menyambutnya.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Perbuatan kurang sopan seperti berdua-duaan dalam pejabat dan gurauan melampaui batas perlu dielakkan bagi mengelak tuduhan.

Kejayaan sebenar bekerja bukan bersandarkan gaji atau pangkat. Matlamat utama seharusnya disasarkan adalah al-falah iaitu kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Apa guna gaji dan pendapatan lumayan jika ia tidak mampu membeli syurga penuh kenikmatan.


- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url