Top Ad 728x90

,

RTM mungkin diperbadankan

KUALA LUMPUR 23 Mei – Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) mungkin diperbadankan bagi meningkatkan daya saingnya menjelang era penyiaran digital sepenuhnya pada 2015.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, perubahan struktur itu akan membolehkan RTM menjadi lebih tangkas, efisien dan profesional di samping memberi kepuasan kepada penonton.

Menurut beliau, penstrukturan itu merupakan salah satu cadangan yang dikemukakan kepada Majlis Ekonomi Negara sebagai rangsangan baru dan penstrukturan masa depan RTM.

“RTM sebagai badan penyiar utama negara harus menjalani beberapa perubahan dan dalam masa sama memenuhi matlamat gagasan 1Malaysia.

“Dari aspek penyiaran berita dan hal ehwal semasa, kita akan memberi keutamaan dan penjurusan bagi memperkasakan bidang ini.

“Justeru, pihak kerajaan akan menjalin kerjasama lebih erat dengan Media Prima dan Astro,” katanya selepas berucap pada Majlis Perasmian Pemukiman Transformasi RTM di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri, di sini hari ini.

Rais berkata, ini termasuk merealisasikan output atau hasil kakitangan RTM yang berjumlah seramai 4,907 di seluruh negara.

Beliau menegaskan, pihaknya juga akan memastikan kerajaan terus mendapat sokongan positif, di samping menyumbang kepada perpaduan wilayah dan memberi pengisian kepada tuntutan rakyat.

Dalam pada itu, Rais berkata, kerjasama latihan dunia digital antara RTM dengan Astro dan Media Prima turut akan dibincangkan.

“Kita tidak mahu pendigitalan di bawah Astro dan Media Prima berasingan, sedangkan dasar ini dibuat kerajaan berikutan pada 2015 semua stesen televisyen tempatan akan disiarkan secara digital,” katanya.

Rais memberitahu, kerajaan akan membuka bidaan supaya perancangan pembangunan yang kosnya bernilai RM1.2 bilion disumbangkan daripada pelaburan swasta dalam menentukan penyiaran digital RTM dapat dikongsi bersama.

Katanya, RTM akan memperoleh 12 saluran digital manakala Media Prima enam dan keadaan ini tidak dapat menandingi Astro yang mempunyai 151 saluran.

Dalam keadaan begitu, katanya, keadaan menang-menang untuk kerajaan, rakyat dan urusan perniagaan masing-masing perlu diwujudkan dan untuk itu pihaknya kini dalam peringkat penyediaan kertas cadangan yang dijangka siap Julai ini.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90