Subjek Vokasional mansuh 2012

Kementerian Pelajaran akan memansuhkan pengajaran mata pelajaran Vokasional (MPV) di semua sekolah harian secara berperingkat mulai sesi pengajian 2012.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah itu dibuat sejajar dengan proses transformasi pengajian teknik dan vokasional seperti yang ditetapkan kerajaan baru-baru ini.

“Semua sekolah harian selepas ini tidak lagi diajar MPV. Bagi mereka yang berminat belajar dalam bidang tersebut, kerajaan akan menyediakan peluang di Kolej Vokasional menerusi Program Asas Vokasional (PAV).

“PAV dikhususkan untuk pelajar peringkat tingkatan 1 hingga 3 dan mereka turut diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap I dan II apabila tamat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis anugerah cemerlang Hari Apresiasi Panglima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Panglima Besar di Kulim, Keah.

Mohd. Puad memberitahu, berdasarkan perancangan, semua peralatan untuk pengajaran dan pembelajaran MPV serta Kemahiran Hidup di sekolah harian sedia ada akan dikumpulkan dan diserahkan kepada Kolej Vokasional kelak.

Selain itu, katanya, kementerian turut bercadang melanjutkan tempoh pengajian peringkat menengah atas kepada tiga tahun berbanding dua tahun di Sekolah Menengah Teknik atau Vokasional sebelum ini.

“Selepas pelajar menamatkan peringkat pengajian menengah atas di Kolej Vokasional selama tiga tahun, mereka layak diberikan SKM Tahap IV,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM262.4 juta untuk tujuan pemberian biasiswa kepada pelajar sekolah di seluruh negara tahun ini.

“Bantuan terbabit dinamakan Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Sukan dan Biasiswa Pra Universiti. Bantuan pertama dan kedua diberikan berdasarkan kes-kes tertentu dan kecemerlangan dalam bidang sukan.

“Sementara Biasiswa Pra Universiti diberikan kepada pelajar tingkatan enam yang layak mengikut kadar RM114 sebulan bagi pelajar aliran Sains dan RM90 aliran sastera,” jelasnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url