Trend jana pendapatan dari rumah
Selepas menghantar anak sulungnya, Adam El-Badri Suhaidi Badri, 6, ke tadika dia bergegas pulang ke rumah kerana perlu bersiap-siap untuk ke pejabat.
“Tetapi perjalanan ke pejabat hanya mengambil masa tak sampai seminit pun memandangkan pejabat saya terletak di luar kamar saja (ketawa),” terang Siti Sumera Deyana atau mesra dengan panggilan Mea sambil menunjukkan pejabat mininya yang kemas dan menempatkan para-para kayu yang dipenuhi koleksi fabrik serta pakaian jualannya.
Jelas Mea, meskipun pejabatnya di dalam rumah, tetapi itu tidak bermakna dia bebas melakukan apa saja terutamanya dari aspek masa. Dia menyifatkan setiap detik begitu berharga dalam menentukan untung dan rugi penjualan produknya.
“Setiap hari tepat pukul 8 pagi saya mula bekerja. Tugasan pertama saya memeriksa senarai tempahan produk daripada pelanggan dan mengemaskini stok-stok terbaharu dalam blog.
“Kemudian saya beralih pula pada proses pembungkusan sebelum ke pejabat pos untuk proses penghantaran menggunakan perkhidmatan pos laju,” tutur Mea yang sempat melayan telatah dua permata hatinya walaupun sibuk mencatat senarai tempahan.
Selain ketepatan masa, Mea yang mengasaskan Mea Sukri Shoppe yang menjual pakaian secara dalam talian turut menitikberatkan soal penampilan diri dan pemakaian.
Jelas anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan tersebut: “Jika di pejabat pekerja berdisiplin mematuhi etika berpakaian, mengapa etika ini perlu dihapuskan apabila kita bertugas di rumah? Lagipun imej yang kemas dan cantik menyuntik semangat bekerja yang tinggi.
Berbicara tentang keputusannya bekerja di rumah, anak bongsu daripada dua adik-beradik itu memberitahu segala-segalanya selepas dia melahirkan anak pertama.
Tambah graduan Diploma Pengurusan Perniagaan, Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL): “Sewaktu menamatkan pengajian, usia anak saya baru saja mencecah setahun. Jadi, saya tak sampai hati keluar bekerja dan membiarkan si kecil dijaga pengasuh.
“Namun, saya akui duduk di rumah saja mengundang kebosanan. Sebab itu, saya meminta izin suami untuk berniaga menerusi internet dan segala perihal perniagaan dijalankan di rumah. Ini bermakna selain berniaga untuk membantu menjana pendapatan peribadi, saya juga dapat memberi tumpuan sepenuh masa kepada anak-anak.
Dalam pada itu, Mea turut menyatakan idea bekerja di rumah timbul hasil pembacaannya di internet mengenai topik konsep pejabat ringkas di rumah atau SOHO (Small Office Home Office). Dia mendapati kebanyakan wanita di negara-negara maju memperoleh pendapatan lumayan menerusi konsep kerja SOHO.
“Lagipun sekitar 2009, peluang pekerjaan di luar amat terhad gara-gara krisis ekonomi,” terang Mea yang merujuk kepada kegawatan ekonomi dunia yang mengakibatkan seramai 17,126 pekerja wanita di Malaysia hilang dan berhenti kerja.
SOHO 30 tahun
Tahun ini hampir tiga dekad terma SOHO digunakan. Sejak kehadiran teknologi canggih seperti komputer dan internet lewat 1990-an, negara maju dilihat semakin rancak mempraktikkan konsep SOHO. Kebiasaannya trend kerja itu menjadi pilihan individu atau syarikat yang menjalankan bisnes kecil-kecilan.
Lazimnya, konsep SOHO dipraktikkan kelompok individu yang menjalankan bidang perkhidmatan seperti perakaunan, perhubungan awam, penulisan, penterjemah atau pun konsultasi berkaitan kertas kerja bagi sesebuah syarikat.
Konsep SOHO dilihat bukan saja menjimatkan kos pengangkutan malah, turut mengurangkan pencemaran udara dan bunyi di jalan raya. Secara tidak langsung mengalakkan orang ramai menjana ekonomi negara tanpa mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga.
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS), setakat ini di negara berkenaan sebanyak 75 peratus rakyat tempatan selesa bekerja di rumah. Ekoran daripada itu, pihak kerajaan menjangkakan pada tahun 2013, jumlah individu yang bekerja di rumah akan mencecah 119.7 juta orang, manakala 1.19 bilion di serata dunia.
Jimat perbelanjaan harian
Bagi Fatmawati Abdullah, 30, dalam tempoh enam bulan bekerja dari rumah dia tidak terlepas berhadapan dengan cabaran-cabaran tertentu.
Dia yang bertugas sebagai perunding perhubungan awam di sebuah agensi perhubungan awam swasta mengakui pada dua bulan pertama, dia berasa janggal dan sunyi kerana melakukan tugasan tanpa dikelilingi rakan sepejabat. Akui Fatmawati ia sedikit sebanyak menyukarkan dirinya melakukan tugasan dengan baik.
Enggan membiarkan situasi berkenaan berterusan maka Fatmawati atau mesra disapa Bee, mengambil keputusan bekerja di luar rumah untuk sementara waktu.
“Bayangkan selama sedekad saya sudah terbiasa bekerja di pejabat dan dikelilingi rakan sekerja. Jika tertekan atau pun kepenatan menyelesaikan kerja menimbun, rakan-rakan menjadi tempat mengadu. Tetapi situasi ini sukar didapati apabila bersendirian bekerja di rumah. Semuanya perlu diuruskan sendiri tanpa bantuan teman-teman.
“Namun, lama-kelamaan saya dapat membiasakan diri bak kata pepatah alah bisa tegal biasa. Kini, rutin kerja harian kembali normal. Setiap hari selepas bersiap, saya akan duduk di pejabat yang diletakkan berhampiran meja makan. Selain mengemaskini e-mel, saya akan menghubungi majikan untuk bertanyakan tugasan terbaharu dan mengurusnkan temu janji bersama pelanggan,” ujar Bee kepada Kosmo!.
Tambah graduan Ijazah Hiasan Dalaman, Universiti Sains Malaysia (USM), biarpun konsep kerja sebegitu masih baru dilaksanakan oleh warga tempatan, tetapi Bee menyifatkan SOHO membantu mengurangkan kos perbelanjaan bulanan dan masa.
Bukan itu saja, kini anak kelahiran Kuala Terengganu tersebut gembira kerana tidak perlu lagi tertekan dengan kesesakan lalu lintas sepanjang perjalanan ke pejabat. Pada masa yang sama berjimat RM800 sebulan daripada membayar caj parkir, minyak kereta dan tol.
“Saya keluar rumah sekali-sekala itupun berjumpa pelanggan, menguruskan acara dan menghadiri mesyuarat bulanan bersama majikan.
“Hakikatnya, tidak sukar untuk bekerja di rumah, asalkan pejabat mini dilengkapi komputer, mesin faksimili, mesin cetak, internet dan telefon. Kelengkapan ini memudahkan urusan komunikasi,” ujar Bee.
- KOSMO!